Monday, June 22, 2009

Agensi Dan Jabatan Kerajaan Digalak Amal Sistem Penarafan : KSN

KEMAMAN, 22 Jun (Bernama) -- Semua agensi dan jabatan kerajaan digalak mengamalkan sistem penarafan bagi membolehkan pelanggan membuat penilaian terhadap mutu perkhidmatan masing-masing.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata orang ramai berhak untuk membuat penilaian terhadap setiap perkhidmatan yang mereka terima dan sistem penarafan itu adalah satu medium terbaik untuk menilai prestasi setiap jabatan dan agensi kerajaan.

"Walaupun perkhidmatan awam kita adalah antara yang terbaik di dunia tetapi itu tidak bermakna kita boleh berpuas hati. Kita mesti cuba selalu memperbaikinya.

"Contohnya, kalau kita buat di Jabatan Imigresen, kita letak sistem yang membolehkan pelanggan membuat penarafan (sama ada) cemerlang, bagus dan lemah, dan apabila pelanggan menekan butang itu, bukan saja orang ramai yang boleh lihat tetapi juga kakitangan itu sendiri.

"Bayangkan berapa banyak pembaharuan yang boleh kita lakukan. Dia (kakitangan) pun seronok kalau kita beri pengiktirafan (cemerlang, tetapi) kalau dia lakukan perkhidmatan tidak bagus, orang ramai akan tengok dan dia mungkin akan berubah," katanya selepas merasmikan Persidangan Institusi Perkhidmatan Awam Negara-negara Komanwel bersama Pertubuhan Komanwel bagi Pengurusan dan Pentadbiran Awam (CAPAM) dan Institusi Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Intan Wilayah Timur dekat sini hari ini.

Mohd Sidek berkata sistem penarafan itu telahpun dilaksanakan di beberepa agensi kerajaann seperti Tabung Haji dan ia ternyata berjaya membuatkan setiap petugas yang bekerja di kaunter lebih mesra.

Beliau berkata walaupun perkara itu telah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha kementerian-kementerian namun tiada paksaan dikenakan dalam pelaksanaannya.

"Saya tak suka arah-arah sebab pelanggan saya ialah jabatan-jabatan kerajaan. Saya tak paksa tetapi menggalakkan mereka melakukannya, biar mereka bincangkannya bersama saya.

"Saya akan cuba memahamkan mereka kenapa sistem penarafan ini perlu dan mereka akan lihat kebaikannya daripada melihat keburukannya," katanya.

Mohd Sedek juga berkata kepandaian sahaja tidak akan menjamin tugas yang cemerlang dalam perkhidmatan sebaliknya ia perlu disertakan dengan sifat yang baik seperti berintergriti dan suka menolong orang.

Persidangan yang bertemakan "Membina Kapisiti Kepimpinan Perkhidmatan Awam" berlangsung selama dua hari dan dihadiri 175 peserta.

Bernama

No comments: