Tuesday, June 16, 2009

Mohon kerja ditawarkan kerajaan Pusat

KENINGAU 15 Jun - Golongan belia di Sabah khususnya dari luar bandar perlu berani menyahut cabaran dengan memohon kerja dengan kerajaan Pusat dan tidak hanya menumpukan untuk bekerja dengan kerajaan negeri sahaja.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup berkata mereka perlu bersedia bersaing di mana sahaja mereka ditempatkan untuk berkhidmat.

"Anak-anak muda tempatan tidak seharusnya berharap untuk bekerja dengan kerajaan negeri semata-mata sedangkan banyak kekosongan jawatan dalam kerajaan Pusat.

"Mereka harus membuka skop mereka dengan seluas-luasnya dan mengambil peluang untuk bekerja dengan kerajaan Pusat," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Kindasan di sini hari ini.

Kurup, yang juga anggota Parlimen Pensiangan, berkata dengan itu mereka harus berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mengisi jawatan kosong yang ditawarkan.

"Jika mendapat peluang itu (tawaran kerja), buktikan bahawa kita boleh maju di luar tempat asal kita," katanya.

Bernama

No comments: