SEREMBAN 10 Jun - Kerajaan negeri meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) segera menimbangkan cadangan mengasingkan jabatan yang berkongsi dua negeri supaya pemantauan kerja dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kertas cadangan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada JPA dan sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu kelulusan tersebut.
''Kita telah memohon kepada JPA untuk menimbangkan pengasingan jabatan-jabatan yang berkongsi antara dua negeri kerana kerja-kerja tidak dapat dilakukan dengan berkesan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Sebagai contoh, katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan/Melaka yang masih lagi berkongsi mentadbir dua negeri.
''Keadaan ini menyukarkan kerja-kerja pemantauan kawasan hutan di negeri ini terutamanya dalam kes kecurian balak seperti yang pernah berlaku di kawasan Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson sebelum ini,'' jelasnya.
Menurut Mohamad, kerajaan negeri telah pun membuat kertas cadangan dan membentangkannya kepada JPA untuk dipertimbangkan.
''Kita faham JPA perlu mengeluarkan waran perjawatan, mesti mewujudkan pengarah baru dan kakitangan baru. Kita berharap ia dapat disegerakan.
''Lagipun jabatan yang bergabung dua negeri ini sudah tidak praktikal. Sepatutnya satu negeri harus mempunyai satu jabatan yang mewakili agensi masing-masing,'' katanya.
Selain jabatan tersebut, katanya, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli juga berkongsi pentadbiran.
Mohamad menegaskan, beliau mahu pegawai yang dedikasi mentadbir jabatan di negeri ini termasuk pengarahnya yang boleh menumpukan kerja dalam permasalahan berkaitan negeri ini.
''Ini kerana mereka perlu menghadiri mesyuarat di Melaka dan sekejap berada di Negeri Sembilan. Susah untuk mereka jalankan tugas dengan sebaiknya," jelas beliau.
Mengenai jabatan lain, Mohamad telah meminta pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri segera menyediakan kertas cadangan untuk disalurkan kepada JPA bagi pertimbangan sewajarnya.
''Hari ini kita sudah pun mempunyai pejabat Sirim di sini, yang sebelum ini berkongsi dengan Melaka. Begitu juga Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana.
''Satu lagi jabatan yang perlu diberi perhatian pengasingan adalah Jabatan Pembentungan di mana berkongsi tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor," katanya.
Mohamad berkata, sudah tiba masanya JPA menilai semula jabatan yang berkongsi negeri ini supaya ia dapat diasingkan dan ditadbir dengan lebih baik di negeri-negeri terbabit sahaja.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment