Saturday, June 20, 2009

Agensi, jabatan perlu kemas kini laman web setiap masa

KOTA KINABALU 19 Jun - Agensi dan jabatan kerajaan perlu memastikan laman web rasmi dikemas kini setiap masa bagi kemudahan orang ramai.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai berkata, selain maklumat yang lengkap, laman web itu juga perlu bersifat interaktif.

"Dengan cara ini ia boleh menarik orang ramai untuk mengunjungi laman web rasmi kerajaan serta memudahkan mereka mencari maklumat penting mengenai kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Seminar Pembangunan Teknologi dan Multimedia Dalam Sektor Awam di sini hari ini.

Moh Chai berkata, kandungan dalam laman web rasmi kerajaan perlu dilengkapi dengan maklumat terkini bagi mengelak orang ramai mendapat maklumat yang salah.

Ini katanya, boleh menimbulkan kesulitan kepada orang ramai dan agensi itu sendiri.

"Pada masa ini kebanyakan sistem penyampaian maklumat kerajaan dilakukan menerusi laman web rasmi kerajaan kerana hari ini, di mana-mana pun orang ramai bercakap mengenai teknologi maklumat," ujarnya.

Dalam pada itu, Moh Chai berkata, kerajaan juga akan memastikan penduduk luar bandar negeri ini mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, program-program ICT akan terus dikembangkan ke luar bandar negeri ini sebagai pendedahan kepada penduduk di kawasan itu.

Mengenai seminar berkenaan, Moh Chai berkata, kakitangan kerajaan wajar mempersiapkan diri dengan ilmu ICT.

"Pengetahuan dalam ICT akan membolehkan kakitangan kerajaan memperbaiki tahap dan prestasi kerja mereka setanding dengan sektor swasta," ujarnya.

Utusan Online

No comments: