Thursday, June 18, 2009

KPI Untuk Semua Urusan Kerajaan, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam semua urusan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya pendekatan mesra rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi kerajaan kerana kerajaan memahami pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

"Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian semua penjawat awam apabila berurusan dengan rakyat.

"Sehubungan itu, KPI akan dilaksanakan dalam semua urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri," katanya dalam laman blognya www.1malaysia.com.my Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ditugaskan khas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan beliau juga bertanggungjawab bagi memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemahkan hasrat kerajaan.

Najib berkata segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.

"Di atas segalanya, 1Malaysia `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia," katanya.

Najib dalam catatan terbaru bertajuk Gagasan 1Malaysia, Bahagian Kedua pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya.

Elemen-elemen tersebut merangkumi Budaya Kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; Budaya Ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan; Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru;

Ia juga mengandungi meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara; Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; Ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan Integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Pembudayaan Nilai-Nilai Aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya, katanya.

Bernama

No comments: