Wednesday, June 17, 2009

Kenaikan pangkat, gaji ikut peraturan

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat daripada Suami Guru Malang, Perak, bertajuk Anjakan Gaji Bermula Lewat di ruangan ini pada 28 Mei 2009 dan ingin memberi penjelasan berikut.

Kenaikan Pangkat

Berdasarkan prinsip kenaikan pangkat secara time-based, seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA29 akan dipertimbangkan kenaikan pangkat ke Gred DGA32 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) apabila memenuhi syarat dalam skim perkhidmatan. Antaranya mencapai prestasi yang ditetapkan, lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkenaan dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun di Gred DGA29.

Oleh yang demikian, isteri pengadu yang lulus PTK pada tahun 2003 hanya dinaikkan pangkat ke Gred DGA32 pada November 2004 iaitu pada tarikh isteri pengadu telah memenuhi syarat berkhidmat 10 tahun di Gred DGA29 setelah memenuhi semua syarat kenaikan pangkat. Sementara rakannya pula dinaikkan pangkat pada 1 Januari 2005 iaitu setelah memenuhi syarat kenaikan pangkat termasuk lulus PTK dan juga syarat berkhidmat mencukupi 10 tahun di Gred DGA29.

Anjakan Gaji

Mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM), pemberian Anjakan Gaji hanya boleh diberi pada Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) seseorang pegawai pada tahun berikutnya apabila seseorang pegawai lulus PTK pada Aras IV. Antara syarat untuk mendapat Anjakan Gaji adalah keputusan PTK, pencapaian tahap prestasi yang baik dan perakuan Ketua Jabatan. Tarikh pergerakan gaji tahunan pegawai pula ditetapkan pada empat tarikh sahaja iaitu 1 Januari, 1 April, 1 Julai atau 1 Oktober tertakluk kepada tarikh lantikan atau tarikh kenaikan pangkat.

Mengikut peraturan, pegawai yang dilantik atau dinaikkan pangkat pada bulan Januari, Februari dan Mac, tarikh pergerakan gaji tahunannya ialah pada 1 Januari tahun berikutnya. Bagi pegawai yang dilantik atau dinaikkan pangkat pada bulan Oktober, November dan Disember, tarikh pergerakan gaji ialah pada 1 Oktober tahun berikutnya.

Dalam kes isteri pengadu, PPPLD Gred DGA29 yang dinaikkan pangkat pada November 2004 akan menerima pergerakan gaji pada 1 Oktober setiap tahun atas Gred DGA32. Manakala, rakan isteri pengadu Gred DGA29, yang dinaikkan pangkat pada 1 Januari 2005 akan menerima pergerakan gaji pada 1 Januari setiap tahun atas Gred DGA32.

Memandangkan isteri pengadu dan rakannya telah lulus PTK di Gred DGA32 pada tahun yang sama iaitu pada tahun 2008, maka mereka diberikan Anjakan Gaji pada tahun 2009 iaitu pada tarikh Pergerakan Gaji Tahunan isteri pengadu pada 1 Oktober 2009 dan rakannya pada 1 Januari 2009. Namun, jumlah mata gaji yang diterima di Peringkat 2 adalah berbeza di mana isteri pengadu berkenaan akan memperoleh mata gaji lebih tinggi berbanding rakannya yang menerima pergerakan gaji pada bulan Januari disebabkan isteri pengadu telah dinaikkan pangkat ke Gred DGA32 pada tahun 2004 sedangkan rakannya pada tahun 2005.

Oleh itu, prinsip kenaikan pangkat dan pemberian anjakan gaji bagi isteri pengadu dan rakannya adalah teratur dan mengikut peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.

NIK NORAINI NIK YA
Ketua Unit Komunikasi Korporat
b/p Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam Malaysia

Utusan Online

No comments: