PUTRAJAYA 22 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) hari ini menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan melaksanakan penswastaan pengurusan sisa pepejal di seluruh negara.
Presiden CEUPACS, Omar Osman berkata, memorandum tersebut meminta kerajaan memberi pilihan ketiga kepada 25,000 pekerja sokongan perkhidmatan sisa pepejal yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mereka diserapkan ke jabatan-jabatan lain.
''Sebelum ini mereka diberi dua pilihan iaitu bekerja dengan syarikat swasta yang diberi kontrak menguruskan sistem pepejal atau bersara.
''Kita cadangkan kepada kerajaan agar mereka diberi pilihan ketiga untuk dikekalkan dalam organisasi PBT dan ditukarkan ke jabatan lain mengikut kekosongan yang ada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Omar bersama sembilan kepimpinan tertinggi CEUPACS mengadakan kunjungan hormat ke atas Muhyiddin di pejabat beliau hari ini.
Menurut Presiden CUEPACS itu, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau akan melihat perkara itu terlebih dahulu kerana ia melibatkan dasar kerajaan.
Omar berkata, majoriti pekerja enggan bekerja dengan syarikat swasta terbabit kerana tidak menjamin masa depan, apatah lagi mereka bakal bersara antara lima hingga 10 tahun lagi.
Perkara lain yang turut dinyatakan dalam memorandum itu ialah meminta kerajaan menyambung kontrak kira-kira 1,000 kakitangan sokongan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri.
''Kebanyakan pekerja ini sudah berusia lebih 40 tahun, justeru kita minta beliau tengokkan perkara ini," katanya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment