Wednesday, June 3, 2009

Tolak bidaan adik-beradik - KSN

BANGI 2 Jun - Semua penjawat awam diminta mendahulukan kepentingan awam dengan menolak bidaan tender kerajaan atau serahan sebut harga melibatkan syarikat adik- beradik atau saudara-mara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, langkah itu bagi memastikan pengurusan tender atau sebut harga projek oleh kerajaan dapat dilaksanakan secara bersih, beramanah, adil dan saksama.

''Penjawat awam tidak boleh melakukan salah guna kuasa untuk meraih manfaat demi kepentingan diri, keluarga, saudara terdekat mahupun kenalan rapat,'' katanya semasa merasmikan Konvensyen Pemantapan Nilai-Nilai Murni Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.

Konvensyen sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) itu dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz bersama puluhan penjawat awam dari pelbagai kementerian.

Mengulas lanjut, Mohd. Sidek berkata, semua agensi kerajaan juga perlu menghapuskan penggunaan kuasa budi bicara dalam meluluskan projek kerana ia menimbulkan banyak masalah.

Katanya, dengan berbuat demikian kakitangan awam dapat bersikap adil dalam menjalankan tugas serta sentiasa melakukan pekerjaan dengan integriti yang tinggi demi kebaikan semua pihak.

Dalam hubungan ini katanya, penjawat awam wajar mencontohi sikap Khalifah Umar Abdul Aziz yang menunjukkan teladan mulia apabila memadam lilin pemberian kerajaan ketika mengendalikan urusan keluarga.

''Sahabat Rasulullah itu sanggup menyalakan lilin yang dibeli sendiri walaupun tiada sesiapa yang nampak jika beliau menyalah guna kuasa yang ada,'' ujarnya.

Utusan Online

No comments: