Thursday, June 4, 2009

Agensi khas pengangkutan awam

BERITA baik untuk rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) setahun lagi sehingga Jun 2010. Keputusan itu adalah langkah yang bijak memandangkan Tan Sri Mohd. Sidek masih diperlukan untuk menjalankan transformasi perkhidmatan awam kepada pentadbiran yang boleh merealisasikan Gagasan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Dalam tempoh Tan Sri Mohd. Sidek menjadi KSN kualiti perkhidmatan awam Malaysia telah dapat dipertingkatkan dan imej perkhidmatan awam menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Sebagai rekod kita boleh catatkan pelbagai penambahbaikan perkhidmatan awam yang diperkenalkan yang menarik minat rakyat, antaranya:

Beliau memperkenalkan pendekatan problem solving (penyelesaian masalah). Banyak masalah besar yang telah berjaya diselesaikan melalui kaedah ini. Misalnya masalah pelaksanaan projek Rancangan Malaysia ke Sembilan. Melalui campur tangan Tan Sri Mohd. Sidek prestasi perbelanjaan peruntukan RMK9 bagi tahun 2008 telah mencapai 97 peratus - satu pencapaian yang sungguh cemerlang. Beliau juga telah menyelesaikan masalah pelaksanaan konsep IBS dalam industri pembinaan di Malaysia, masalah projek rumah terbengkalai dan penggubalan dasar dan manual pengurusan aset kerajaan.

Beliau memperkenalkan penggunaan ICT dalam pengurusan kerajaan. Kejayaan ini telah terbukti apabila pemantauan projek pembangunan dibuat secara elektronik dan pengurusan sumber manusia melalui sistem HARMIS dilaksanakan.

Satu lagi kejayaan besar beliau apabila mengetuai PEMUDAH menyelesaikan pelbagai masalah pengurusan perniagaan seperti mempercepatkan kelulusan lesen perniagaan, kelulusan CF dan sebagainya. Apa yang penting konsep pensyarikatan Malaysia berjaya dibangunkan di peringkat pengurusan tertinggi negara.

Apabila kerajaan menekankan gagasan 1Malaysia, adalah suatu cabaran besar yang saya percaya Tan Sri Mohd. Sidek sedia untuk menangani. Kita akan lihat nanti satu persatu idea dan tindakan daripada sektor awam bagi melaksanakan 1Malaysia. Sungguhpun begitu, suatu isu yang menjadi permasalahan kepada rakyat kota ialah kos pengangkutan yang tinggi akibat dari kurang cekapnya sistem pengangkutan awam di bandar utama, khususnya di Lembah Klang, masih berlaku.

Pada masa ini, kos hidup keluarga berpendapatan sederhana telah meningkat akibat kurang yakin mereka untuk menggunakan pengangkutan awam. Walaupun dengan pendapatan mereka yang tidak seberapa mereka tidak begitu mampu untuk memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka terpaksa membelinya juga sebab mereka lebih yakin dapat tiba di tempat kerja pada waktu yang dikehendaki.

Akibat pemilikan kenderaan sendiri kos pengangkutan mereka meningkat lebih 100 peratus. Bukan itu sahaja mereka juga telah menyukarkan penghuni lain di taman perumahan kerana terpaksa meletak kenderaan di tepi jalan, di taman kanak-kanak dan di kawasan surau kerana kekurangan tempat letak kenderaan.

Kerajaan memang telah melaksanakan pelbagai program membaiki perkhidmatan pengangkutan awam tetapi hasilnya masih jauh dari menyakinkan. Saya percaya Tan Sri KSN mempunyai idea bernas untuk mengatasi masalah ini, tetapi suatu tindakan yang kerajaan terlupa ialah tiada satu agensi yang boleh memastikan kenderaan awam diyakini dan mampu tiba ke destinasi pada waktu yang dikehendaki penumpang.

Jadi, kalau agensi yang sedia ada diarah buat demikian, pelbagai kesilapan perancangan menggunakan pengangkutan awam, terutama bas, dapat diatasi.

Barangkali idea ini kecil, tetapi kalau Tan Sri KSN dapat melaksanakannya saya yakin ia boleh membantu mengatasi masalah penghuni kota terutama di Lembah Klang dari segi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, terutama bas.

DR. ABDUL MUNIT KASMIN
Pegawai Tadbir dan Diplomatik

Utusan Online

No comments: