Wednesday, June 3, 2009

Penguasa kastam, ketua balai polis didakwa rasuah

MELAKA 2 Jun - Seorang penguasa kastam dan seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berasingan menerima rasuah pada tahun lalu.

Yong Yoke Liang, 53, dari Bahagian Perkhidmatan Teknik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia cawangan Melaka dituduh menerima suapan RM3,000 daripada Teh Kim Tin di Lorong Singa, Jalan Bukit Baru, di sini kira-kira pukul 6.10 petang, 30 April tahun lalu.

Yoke Liang dituduh menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan kompaun ke atas cukai jualan kastam bernilai lebih RM20,000 yang perlu dibayar oleh Syarikat Ines Art Design Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Kim Tin.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin menetapkan perbicaraan terhadap Yoke Liang yang diwakili peguam Shaari Nor selama dua hari mulai 28 Oktober ini.

Di mahkamah sama, Sarjan Mejar Zulkaflee Razak, 54, dituduh menerima suapan bernilai RM250 daripada peniaga besi buruk, Lim Chin Chye di sebuah kabin di Lot 20, PT 28, Kesang Pajak, Jasin, di sini pada 7 Mei tahun lalu.

Tertuduh yang bertugas di Balai Polis Kesang, Jasin dituduh melakukan kesalahan itu supaya Chin Chye dilepaskan daripada tangkapan selepas dikatakan membeli besi buruk curi dan membatalkan lesen perniagaan peniaga itu.

Zulkaflee didakwa bertindak sedemikian walaupun dia tidak mempunyai kuasa bagi meluluskan atau membatalkan lesen perniagaan berkenaan.

Hakim Ahmad Kamar menetapkan 15 September ini tarikh perbicaraan terhadap Zulkaflee yang diwakili peguam Azrul Stork Abdullah.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kedua-dua kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fazlin Hamdan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Utusan Online

No comments: