SEREMBAN 1 Jun – Semua kakitangan kerajaan perlu menjadi pemudah cara bagi memberi keyakinan kepada orang ramai yang berurusan dengan mereka bahawa kerajaan sedia membantu apa jua masalah rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebelum ini terdapat pelbagai tohmahan yang melibatkan penjawat sektor berkenaan yang sebelum ini dilihat tidak mampu memberikan prestasi yang terbaik.
Justeru katanya, mereka perlu meletakkan sasaran pencapaian prestasi pelaksanaan kerja sebanyak 20 peratus bagi membolehkan semua perkara melibatkan masalah orang ramai dapat diselesaikan.
“Saya selalu katakan supaya kita perlu tingkatkan prestasi bekerja kerana apabila kita bercakap mengenai prestasi, ia sesuatu yang boleh diukur.
“Ia adalah sesuatu yang mudah sekiranya semua penjawat awam peringkat bukan pegawai dapat meningkatkan prestasi sebanyak 20 peratus,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Wisma Negeri di sini hari ini.
Mohamad menjelaskan, perkara itu melengkapi dasar kerajaan yang mahu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diberi keutamaan dalam menyelesaikan apa juga masalah yang dihadapi oleh segenap lapisan rakyat.
Tambah beliau, penjawat awam seharusnya mengikis sikap tidak ambil peduli terhadap apa juga masalah yang dihadapi oleh orang ramai ketika berurusan .
“Kita mahu penjawat awam mengikis sikap tidak tahu apabila dikemukakan persoalan. Perkara in seharusnya tidak perlu ada dalam kamus penjawat awam,” jelasnya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment