Thursday, June 25, 2009

Didakwa minta rasuah

MELAKA 24 Jun – Bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Jasin (MDJ), Mustadza Abu Bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba memperoleh rasuah sebanyak RM10,000, enam tahun lalu.

Mustadza, 54, membuat pengakuan berkenaan dan memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Dia didakwa cuba memperoleh suapan daripada Zakariah Abu Bakar sebagai dorongan untuk menghapuskan denda lewat akibat kegagalan Syarikat Build Tex Construction Sdn. Bhd. menyiapkan projek membina medan selera di Merlimau, Jasin dalam tempoh yang ditetapkan.

Mustadza yang kini ahli perniagaan dan merupakan bekas Bendahari UMNO Bahagian Jasin didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat MDJ pada November 2003.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noorfazlin Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ahmad Kamar membenarkan Mustadza diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes itu pada 29 Julai ini.

Utusan Online

No comments: