Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jabatan dan agensi kerajaan perlu berani serta jujur mengakui kelemahan dalam perkhidmatan yang ditawarkan sekiranya benar.

Memberi contoh rungutan berhubung perkhidmatan Jabatan Imigresen seperti isu pengeluaran pasport dan pelanggan terpaksa beratur panjang di kaunter, beliau berkata, keadaan itu sememangnya wujud dan perlu diakui dengan jujur.

"Saya juga mahu rakyat faham bahawa masalah tersebut bukan sepenuhnya disebabkan kelemahan jabatan tetapi turut melibatkan faktor luaran seperti pembekal dan vendor yang gagal menyediakan item memenuhi spesifikasi serta masa yang ditetapkan Imigresen," katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustaffar Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, situasi sebenar di sebalik permasalahan perlu dimaklumkan kepada rakyat agar mereka memahami situasi selain menyelesaikan segera masalah yang timbul.

Ahmad Zahid turut membidas 'kacang hantu' dalam jabatan di bawah KDN yang sanggup bertindak membelakangkan integriti sehingga memberi persepsi buruk kepada imej dan perkhidmatan kementerian.

Sebagai kementerian yang menawarkan banyak perkhidmatan kepada orang awam, beliau tidak boleh berkompromi untuk menyimpan atau memiliki individu seperti itu di bawah pentadbirannya.

"Bagi mereka yang merasakan sudah tidak boleh bekerjasama dengan KDN, carilah organisasi lain di luar sana yang dia selesa bekerjasama," katanya. 

Bernama Online