KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pengurangan waktu bertugas kakitangan awam kepada enam jam berbanding lapan jam sehari bakal menyebabkan banyak urusan rasmi antara masyarakat dan sektor swasta dengan agensi kerajaan terjejas.
Kebimbangan itu disuarakan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan yang berpendapat langkah tersebut akan melambatkan banyak urusan rasmi terutama di sektor yang berurusan dengan orang ramai seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya.
Katanya, ketika ini pun pelbagai isu timbul berhubung produktiviti perkhidmatan awam dan sekiranya waktu bekerja kakitangan kerajaan menjadi lebih singkat, pasti banyak urusan akan terbantut.
“Penurunan waktu dua jam adalah sangat drastik. Sekarang ini pun produktiviti kerajaan masih rendah. Sebagai contoh, waktu perkhidmatan adalah pukul 8 pagi hingga 5 petang, namun, adakah orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan itu tepat pada masanya?
“Ada juga jabatan atau agensi kerajaan yang ‘tutup’ seawal pukul 4 petang sedangkan perkhidmatan ditawarkan hingga pukul 5 petang. Ini belum lagi ditolak dengan waktu rehat, minum kopi dan sebagainya. Perkara ini akan menjadi satu kebimbangan kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa semalam bahawa kerajaan akan mengkaji dan meneliti keperluan serta kewajaran cadangan waktu bekerja kakitangan awam sehingga enam jam sehari.
Katanya, beberapa agensi kerajaan seperti di UTC (Pusat Transformasi Bandar) telah melaksanakan tempoh bekerja tujuh jam bagi setiap kakitangan dan mereka dibahagikan kepada dua syif sehari.
Pertimbangan tersebut dibuat susulan cadangan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Kishnam baru-baru ini yang meminta kerajaan mempertimbangkan agar mengurangkan waktu bekerja kerana waktu kerja panjang akan memberi kesan buruk kepada produktiviti pekerja.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment