SAYA sangat tertarik membaca laporan berita mengenai cadangan ‘waktu bekerja rasmi’ kakitangan awam dikurangkan daripada lapan jam kepada enam jam sehari.

Antara alasan untuk memendekkan tempoh bekerja adalah bagi mengurangkan ‘tekanan’ di tempat kerja.
Berasaskan pengalaman sebagai pesara perkhidmatan awam, tekanan sedemikian biasanya berlaku kerana beban kerja yang banyak sedangkan masa rasmi untuk berada di pejabat tidak mencukupi.

Lebih tertekan lagi apabila pada waktu sama ada kerja-kerja lain perlu disiapkan dalam satu tempoh waktu yang kadang kala tidak munasabah dan terlalu singkat.

Bagi setengah pegawai pula, menghadiri mesyuarat juga adalah sebahagian daripada tugas mereka dan sama penting seperti tugasan-tugasan lain.

Tempat menghadiri mesyuarat pula kadang kala bukan di pejabat sama tetapi di tempat lain dan mungkin mengambil masa kerana jarak perjalanan yang jauh mencecah ratusan kilometer.

Ini semua memakan masa bekerja. Biasanya, setiap mesyuarat juga akan memakan masa sehingga dua jam atau lebih.
Berkaitan elaun lebih masa, sistem di negara kita secara umumnya membahagikan kepada dua kategori utama iaitu yang ‘layak’ dan ‘tidak layak’ membuat tuntutan.

Memendekkan masa bekerja rasmi ertinya menambahkan masa untuk elaun lebih masa kepada golongan yang layak.
Di sini ada kebaikannya tetapi keburukannya pula adalah dari segi pemikiran sebahagian kakitangan awam tertentu yang sengaja mahu mengambil kesempatan menambah jumlah tuntutan bulanan mereka.

Selain itu, ada lagi faktor lain yang saya rasa tidak kurang juga pentingnya untuk diambil kira, misalnya dari sudut iklim, agama dan cara hidup.

Sejak sekian lama tempoh bekerja kakitangan awam adalah lapan jam. Ini memang sesuai dengan iklim geografi negara ini yang tempoh waktu siang dan malam tidak berubah dan tiada perbezaan ketara seperti sesetengah negara lain di Barat.
Secara amnya, waktu bekerja kakitangan awam di negara ini bermula pada pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Ini termasuk waktu rehat satu jam iaitu kira-kira pukul 1 petang hingga 2 petang tetapi tidak mengambil kira ‘waktu anjal’ yang diamalkan oleh sesetengah agensi kerajaan.

Oleh kerana kebanyakan kakitangan awam beragama Islam, maka penetapan waktu rehat yang ada sekarang sangat sesuai dan tepat kerana waktu ini juga waktu yang diwajibkan ke atas mereka untuk laksanakan solat.

Bagaimanapun, jika waktu kerja dipendekkan dan kakitangan awam ditetapkan waktu pulang pada pukul 3 petang misalnya, maka tumpuan kepada kerja selepas waktu itu besar kemungkinan sudah pudar.

Meskipun tidak berlaku kepada semua kakitangan awam tetapi faktor ini perlu diberi perhatian juga.

Pada pandangan saya, waktu bekerja rasmi yang ada sekarang ini sudah cukup sesuai dan wajar dari beberapa sudut seperti dinyatakan di atas.

Perkara paling utama bagi kakitangan awam adalah menyiapkan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

Sekiranya berasa pengurangan masa bekerja kakitangan awam satu keperluan yang tidak boleh dielakkan, elok kiranya dibuat kajian lebih mendalam daripada beberapa sudut agar sistem penyampaian serta perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta berjalan lancar dan berkesan.

Lagipun, dari satu sudut sebenarnya waktu bekerja ketika ini hanya tinggal tujuh jam sahaja selepas ditolak satu jam waktu rehat.

SALLEH SAAD
Kepala Batas, Pulau Pinang