KUALA LUMPUR 6 Sept. - Para pegawai kerajaan wanita menyifatkan pelaksanaan sistem waktu bekerja selama enam jam sehari bagi penjawat awam terutamanya wanita belum sesuai dilaksanakan kerana melibatkan skop atau bidang kerja yang berbeza-beza dan urusan kerja yang semakin bertambah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata, pengurangan waktu tersebut memerlukan satu perubahan yang sangat kompleks pada polisi dan dasar jabatan dan ini memerlukan satu kajian yang sangat komprehensif serta menyeluruh bagi membolehkan waktu bekerja lapan jam tersebut dapat dikurangkan.
“Pengurangan waktu ini mungkin bukan perkara baharu dan tidak mustahil untuk dilaksanakan, tinggal lagi ia melibatkan satu perubahan yang sangat besar.
“Kesannya tidak sahaja melibatkan pegawai dan kakitangan kerajaan malah terhadap orang ramai sebagai pelanggan. Kita kena belajar dahulu dari mana-mana negara yang melaksanakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk mengkaji pelaksanaan sistem waktu bekerja selama enam jam sehari bagi penjawat awam di negara ini sebagaimana yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Hayati Abdullah pula berkata, orang ramai masih menumpukan khidmat kaunter jabatan-jabatan kerajaan bagi menyelesaikan pelbagai urusan walaupun terdapat banyak perkhidmatan dalam talian.
“Namun secara peribadi, lapan jam yang ada sekarang sebenarnya tidak mencukupi untuk menyelesaikan pelbagai urusan kerja apatah lagi melibatkan tugas-tugas turun padang yang tidak mengira masa dan keadaan.
“Ditambah lagi kita perlu menghadiri mesyuarat yang makan masa hampir sehari dari waktu pagi, jadi tempoh kerja untuk tujuan pelaksanaan terpaksa dilanjutkan sehingga lepas habis waktu kerja malah sehingga ke malam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Adilah Shek Omar berkata, sebenarnya bebanan tugas semakin bertambah dalam memenuhi pelbagai urusan perkhidmatan jabatan yang ditawarkan kepada para pelanggan.
“Ini menyebabkan akan ada pekerja terpaksa membawa pulang kerja-kerja untuk diselesaikan di rumah atau semakin bertambahnya jumlah masa mereka melakukan kerja-kerja lebih masa di pejabat.
“Bagi saya lapan jam yang ada sudah elok walaupun saya memahami enam jam bekerja sehari sememangnya waktu kerja yang sangat ideal terutamanya kepada mereka yang masih mempunyai anak yang masih kecil dan sangat menuntut perhatian dan jagaan daripada seorang ibu,” katanya.
Menurutnya, kakitangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti penerbit rancangan misalnya, terpaksa mengorbankan masa sehingga terpaksa pulang lewat kerana tuntutan kerja yang tidak membolehkan mereka pulang tepat pada masanya.
“Mungkin di jabatan lain ada yang sesuai dan boleh dilaksanakan pengurangan masa bekerja. Pada dasarnya semua pekerja inginkan enam jam untuk bekerja, namun ia sangat melibatkan soal produktiviti,” katanya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment