Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, projek laluan kedua MRT itu akan memberi kemudahan dan keselesaan perjalanan kepada penjawat-penjawat awam terlibat.
“Laluan MRT SSP yang meng­hubungkan Sungai Buloh melalui Serdang ke Putrajaya amat bermanfaat kepada warga Lem­bah Klang terutama penjawat-penjawat awam kerana mereka akan mempunyai akses pengangkutan yang mudah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembinaan MRT Laluan SSP yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Projek pembinaan laluan rel sepanjang 52.2 kilometer dan meliputi 37 buah stesen itu akan memudahkan perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dengan mengambil masa hanya 30 minit.

Projek bernilai RM32 bilion itu apabila siap sepenuhnya pada 2022 dijangka mampu menampung 530,000 orang penumpang sehari.

Ali yang juga Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) berkata, beliau sentiasa menyokong penuh pemodenan sistem pengangkutan awam demi kemudahan orang ramai dan kakitangan kerajaan.

“Kerajaan juga telah meluluskan pembinaan 12,000 unit rumah untuk penjawat awam di sini (Putrajaya), saya rasa ini (MRT Laluan SSP) akan memudahkan pergerakan penjawat awam sekiranya mereka diperlukan untuk bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Utusan Malaysia Online