" Pelan Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2015-2020 bukanlah idea dan falsafah yang baru diilhamkan tetapi sekadar kesinambungan daripada Pelan Integriti PDRM 2010-2015," kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) DATUK YAACOB MD. SAM kepada wartawan Mingguan MalaysiaHAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI ketika ditemui di pejabat beliau di Putrajaya Jumaat lalu.

Dalam wawancara yang berlangsung lebih sejam itu, Yaacob turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pengangkutan mengisytiharkan tahun ini sebagai tahun integriti bagi kementerian itu dan agensi-agensi di bawahnya tetapi sehingga kini, tidak ada sebarang pelan atau program integriti yang khusus disusun kementerian atau dua agensi penguatkuasaan di bawahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Beliau juga meminta Jabatan Imigresen (JIM) membuat kajian semula ke atas Pelan Strategik JIM 2015-2020 berikutan rancangan tersebut tercemar dengan teruk pada tahun ini dengan isu rasuah, sabotaj ke atas sistem myIMMS dan kekurangan bekalan pasport.

DATUK YAACOB MD. SAM


MINGGUAN: Pada pandangan Datuk sejauh manakah keberkesanan pelan-pelan tindakan dalam mengatasi isu-isu ketirisan integriti dan jangan ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau retorik semata-semata?

YAACOB: Saya melihat terdapat iltizam yang tinggi ditunjukkan oleh beberapa agensi penguatkuasaan dalam mengenal pasti ketirisan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan kelemahan ke atas sistem kerja atau penyampaian perkhidmatan oleh agensi itu sendiri. Maka agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mempunyai Pelan Strategik Maritim Malaysia 2040 yang merangkumi bukan sahaja perkara-perkara berkaitan pembangunan logistik tetapi juga sumber manusia yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan berintegriti dengan pelaksanaannya dibahagikan kepada tujuh fasa setiap satu fasa selama lima tahun bermula dari 2006 hingga 2040.

Kementerian Pengangkutan Malaysia pula telah mengisyitiharkan Tahun 2016 sebagai tahun integriti bagi kementerian tersebut dan agensi-agensi di bawahnya. Dalam hal ini dua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan yang termasuk di bawah kawal selia EAIC ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Bagaimanapun sejak pengisytiharan tersebut dibuat pada bulan Januari 2016 hingga tarikh ini, saya tidak melihat sebarang pelan atau program integriti yang khusus disusun baik oleh pihak kementerian atau dua agensi yang saya sebutkan tadi bagi menyambut dan mengisi pengisyitiharan tahun integritiri tersebut.

Mungkin ada agensi lain turut sama bersikap sebegini?

YAACOB: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah melancarkan Pelan Strategik JIM 2015-2020 yang mengandungi empat teras utama, iaitu Pertama: Keselamatan dan Kawalan Diutamakan; Kedua: Pemantapan Sistem Pengkomputeran Imigresen; Ketiga: Merakyatkan Perkhidmatan Imigresen; dan Keempat: Perekayasaan JIM dalam visi memberi perkhidmatan yang memenuhi ekspektasi semua pihak yang berurusan dengan JIM.

Pihak JIM pun telah melancarkan pelan strategik mereka pada tahun 2015, tetapi rancangan tersebut tercemar dengan teruknya pada tahun 2016 apabila terdapatnya kejadian-kejadian seperti perlakuan amalan rasuah, salah guna jawatan atau kuasa dan perlakuan sabotaj ke atas sistem pengkomputeran myIMMs di pintu masuk utama negara KLIA sehingga memerlukan campur tangan Menteri Dalam Negeri yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri yang mahukan tindakan tegas diambil terhadap pegawai terlibat dalam sabotaj tersebut. Imej tercemar yang sedia dialami oleh Jabatan tersebut menjadi lebih terganggu apabila isu kekurangan bekalan pasport baharu pula berbangkit baru-baru ini sehingga orang ramai terpaksa beratur dari jam 3.00 pagi semata-mata untuk membaharui dan mendapatkan pasport baharu.

Seperti keadaan ketirisan kelemahan sistem MyIMMs, tuding menuding jari juga berlaku dalam isu kekurangan bekalan pasport tersebut antara pihak berkuasa dan pembekal terlibat. Melihat kepada isu-isu yang berlaku selepas pelancaran pelan strategik JIM tersebut, saya berpendapat satu kajian semula ke atas Pelan Srategik JIM 2015-2020 perlu dilakukan bagi mengambil langkah-langkah tambahan yang perlu bagi penambahbaikan jangka pendek dan jangka panjang berkaitan sistem kerja, sistem penyampaian perkhidmatan dan sumber manusia yang ketika ini jelas melihatkan suatu tindakan yang drastik sangat diperlukan di samping membina semula semangat dan moral pegawai imigresen serta keyakinan orang ramai kepadanya. Saya percaya pelantikan Ketua Pengarah JIM yang baru dari perkhidmatan SPRM baru-baru ini akan dapat mempertingkatkan program dan akiviti pengukuhan integriti JIM.

Antara agensi kerajaan yang sering mendapat perhatian utama dalam soal integriti adalah PDRM. Mungkin Datuk boleh hurai tentang hal ini?

YAACOB: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang terbesar serta institusi penguatkuasaan tertua juga telah memperlihatkan iltizam tinggi bagi peningkatan integriti PDRM menuju tahun 2020. Bagi tujuan tersebut PDRM dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) telah membangunkan dan melancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020. Pelan integriti tersebut bertujuan memastikan visi dan misi PDRM yang ingin mencapai perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia direalisasikan dan ditambah baik dalam penumpuan kepada peningkatan integriti dan pematuhan standard warga kerja PDRM. Pelan tersebut mempunyai enam elemen nilai teras termasuk Integriti, Bermoral, Keagamaan, Kerohanian dan Profesionalisme.

Bagi menjayakan pelan tersebut, terdapat lima strategi telah dirangka untuk dilaksanakan dari peringkat pegawai atasan hingga ke pegawai bawahan, meliputi Strategi Pertama: Memantapkan pengurusan pentadbiran dan pematuhan standard; Kedua: Meningkat keberkesanan sistem penyampaian; Ketiga: Memantapkan pengurusan sumber manusia; Keempat : Memperkasakan imej PDRM ke arah kepolisian moden; Kelima: Mensejahterakan institusi kekeluargaan.
Berdasarkan kepada strategi ketiga, PDRM telah membangun dan melancarkan kod etika PDRM. Saya melihat pelan tersebut sebagai komprehensif dan holistik. Pun begitu, perlu saya katakan bahawa Pelan Integriti PDRM 2015-2020 tersebut bukan idea dan falsafah yang baru diilhamkan. Pelan tersebut lebih merupakan kesinambungan daripada Pelan Integriti PDRM 2010-2015 yang telah wujud.

EAIC melihat dengan positif dan menyokong penuh inisiatif dan iltizam besar yang diperlihatkan oleh PDRM. Saya sendiri bersama pegawai-pegawai kanan EAIC telah hadir semasa majlis pelancaran Pelan Integriti PDRM 2015-2010 tersebut yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low. Bagaimanapun perkara lebih mencabar selepas itu adalah untuk memastikan setiap warga PDRM menghayati keperluan membudayakan integriti, mengamalkan budaya kerja yang sihat serta mematuhi standard yang ditetapkan.

Ada yang berkata bukan mudah untuk membudayakan integriti berbanding hanya bercakap kosong apatah lagi jika melibatkan agensi penguatkuasaan yang besar?

YAACOB: Saya memetik peringataan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Pengarah Pengurusan PDRM yang mengatakan ketika ini keanggotaan beruniform dalam PDRM adalah sejumlah 100,000 orang. Kesemua mereka tidak kira sama ada daripada ketegori pegawai kanan iaitu berpangkat inspektor ke atas atau pegawai berpangkat rendah daripada sub-inspektor ke bawah telah menjalani latihan sebelum ditugaskan di lapangan masing-masing dalam pelbagai bahagian dan cabang dalam PDRM. Apa yang pasti, jumlah anggota bawahan adalah jauh lebih besar daripada jumlah pegawai atasan. Bagaimanapun saya tidak mempunyai statistik pembahagian jumlah tersebut.

Dan satu fakta lagi bahawa anggota bawahan adalah mereka yang paling kerap berurusan dengan orang ramai berkaitan penguatkuasaan undang-undang, daripada undang-undang berkaitan jalan raya sehingga kepada jenayah lain yang terletak di bawah tugas polis untuk menguatkuasakannya.EAIC mempunyai kebimbangan ke atas tahap pengetahuan yang dimiliki oleh pegawai dan anggota peringkat bawahan PDRM ke atas Standard Tetap Operasi (SOP) dan Perintah-Perintah Tetap Ketua Polis Negara, atau Perintah Tetap Ketua Polis Negeri atau Perintah Tetap Ketua Polis Daerah sama ada benar-benar diketahui untuk dipatuhi dan dihayati oleh warga PDRM. Pada bulan Jun 2016, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, memberikan statistik jumlah tindakan tatatertib yang telah diambil ke atas warga PDRM kerana salah laku atau kesalahan jenayah serta rasuah. Dari tahun 2013 hingga setakat bulan Jun 2016, seramai 607 orang dibuang kerja dan 240 orang yang lain ditahan kerja sehingga selesai kes tatatertib atau pertuduhan jenayah terlibat dengannya. Dalam tahun 2016 sahaja sejumlah 25 orang dibuang kerja. Dari jumlah yang sedang disiasat kerana perlakuan salah laku, seramai 38 orang adalah terdiri daripada pegawai kanan.

Dari tahun 2013 sehingga bulan Mei 2016 seramai 275 warga PDRM telah disabitkan dengan kesalahan jenayah oleh mahkamah. Dari bulan Julai 2014 hingga Februari 2016, JIPS telah menerima sejumlah 677 laporan daripada lapan agensi berkaitan salah laku warga PDRM dan dari jumlah itu sejumlah 409 adalah daraipada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bukit Aman juga membuka sejumlah 9,227 kertas siasatan ke atas warga PDRM dari tempoh Julai 2014 hingga bulan Mei 2016. Dari jumlah warga PDRM yang disiasat itu, sejumlah 1,968 orang adalah daripada pegawai yang berpangkat Inspektor hingga kepada Pesuruhjaya Polis.Saya memberikan statistik di atas sebagai gambaran fakta masalah ketirisan integriti yang dihadapi oleh PDRM selaku agensi penguatkuasaan terbesar di negara ini.

Ada pegawai kerajaan sendiri takut berkhidmat di tempat-tempat tertentu contohnya di Cameron Highland kerana berhadapan ancaman pihak yang berkepentingan. Apa yang boleh dilakukan?

YAACOB: Isu pembangunan dan penerokaan tanah tinggi di Cameron Highlands sepatutnya isu yang perlu dikendalikan oleh pihak berkuasa negeri Pahang. Segala hal yang berhubung dengan tanah sama ada yang telah diberi milikan atau masih merupakan tanah kerajaan negeri (state land) adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri khususnya Pejabat Tanah Galian Negeri dan Pejabat Tanah Daerah seperti mana kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Dalam hal pembangunan dan pembinaan apa-apa struktur di atas tanah terlibat, ia di bawah bidang kuasa Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran bagi mengawalnya. Maka itu pihak berkuasa negeri melalui Pejabat Tanah dan Majlis Daerah adalah pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan pendudukan dan aktiviti di atas tanah. Sekiranya tanah yang diduduki atau dikerjakan maka ia merupakan tanah kerajaan negeri, maka pendudukan dan aktiviti tersebut adalah merupakan kesalahan pencerobohan ke atas tanah kerajaan yang boleh diambil tindakan pendakwaan.

Walau bagaimanapun lanjutan daripada peristiwa banjir lumpur yang berlaku di Cameron Highlands sekitar Disember 2014 yang menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda teruk akibat penerokaan tanah yang berleluasa, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara terpaksa campur tangan bagi menangani masalah yang berlaku termasuk dalam membanteras kebanjiran pendatang asing sama ada yang mempunyai permit atau masuk secara tidak sah daripada meneruskan aktiviti penerokaan dan pertanian di sana.

Perlu saya terangkan juga bahawa di peringkat negeri terdapat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Kerajaan negeri telah memberikan alasan ketiadaan pegawai yang mencukupi bagi menguatkuasakan undang-undang dan kekurangan logistik telah menghalang pihak berkuasa negeri daripada bertindak dengan efektif ditambah lagi kuasa dalam mengawal pendatang asing adalah Jabatan Imigresen (JIM) selaku agensi penguatkuasa Persekutuan.

Keadaan penerokaan menjadi lebih teruk apabila dikatakan terdapat pegawai-pegawai tertentu telah menerima rasuah daripada mengambil apa-apa tindakan ke atas peneroka haram tanah kerajaan atau mereka yang telah secara salah meluaskan kawasan tanah milikan mereka atau mendudukinya secara lesen pendudukan sementara (TOL). Di atas campur tangan MKN, tindakan penguatkuasaan secara bersepadu yang disertai oleh pelbagai agensi penguatkuasaan telah dijalankan termasuk memusnahkan tanaman dan bangunan di kawasan yang diceroboh, memulihkan tanah kawasan diceroboh dan operasi menangkap pandatang tanpa izin (PATI) atau mereka yang melanggar permit masuk. Baru-baru ini dalam bulan Mei 2016, MKN telah menggerakkan “Ops Gading II” bagi menghentikan kegiatan yang mendatangkan kerosakan ke atas tanah di Cameron Highlands setelah didapati berlaku aktiviti pencerobohan semula oleh pengusaha-pengusaha haram.

Saya yakin dengan usaha berterusan dan konsisten oleh pihak berkuasa Persekutuan bersama pihak berkuasa negeri Pahang dan pengawasan yang lebih efektif oleh SPRM, kegiatan haram di Cameron Highlands akan dapat dibendung daripada terus berleluasa. Pegawai awam yang diberi kuasa oleh undang-undang tidak sewajarnya lari daripada menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka, walau dalam apa keadaan kerana negara yang tunduk kepada penjenayah akan menuju kepada kehancuran.

Dalam isu ketirisan terutama melibatkan agensi penguat kuasa seakan-akan wujud satu sindiket terancang mengawal perjalanan kegiatan ini, malah ada yang sanggup bertindak kejam seperti membunuh dan mengugut keluarga penguat kuasa. Apa yang boleh dilakukan EAIC dalam menjamin keselamatan mereka?

YAACOB: EAIC mempunyai kaedah dan sistemnya sendiri dalam menyimpan maklumat-maklumat yang diterima daripada orang awam dan maklumat tersebut diklasifikasikan sebagai maklumat sulit yang tidak boleh didedahkan kepada umum kecuali bagi perbicaraan jenayah atau prosiding sivil di mahkamah. Ini diperuntukkan oleh Seksyen 52 Akta 700. Di samping itu EAIC adalah salah satu daripada tujuh badan penyiasatan yang diberi kuasa untuk mengguna pakai Akta Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) bagi melindungi pemberi maklumat daripada pendedahan indentitinya atau bagi mendapatkan perkhidmatan perlindungan kepada saksi yang tampil membantu siasatan dan memberi keterangan di mahkamah.

Oleh sebab itu orang ramai sewajarnya mempunyai keyakinan dalam membantu membasmi perlakuan salah laku atau rasuah dengan membuat laporan kepada EAIC atau SPRM. Di dalam EAIC sendiri kita mempunyai beberapa orang pegawai kanan SPRM yang dipinjamkan sepenuh masa bagi membantu kerja-kerja penyiasatan EAIC selain daripada beberapa orang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara yang juga dipinjamkan secara sepenuh masa untuk membantu EAIC dalam penyiasatan kes-kes salah laku dan yang bersifat jenayah.

Saya sendiri adalah bekas Pengarah Bahagian Siasatan dan Perundangan SPRM dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara sebelum lantikan saya awalnya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 yang kemudiannya dinaikkan jawatan kepada Hakim Mahkamah Rayuan pada bulan Mac 2016 dan terus kekal menerajui Suruhanjaya ini.

Dengan pengalaman luas yang saya ada hampir 14 tahun sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan 12 tahun sebagai penasihat undang-undang di pelbagai kementerian dan jabatan serta negeri, ia membantu saya dengan berkesan dalam menjalankan tugas-tugas EAIC.

Utusan Malaysia Online