Timbalan Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ujian saintifik yang dibuat menerusi dalam talian itu diyakini membantu kementerian mempertingkatkan tahap kecekapan kakitangan terutama soal menjaga keselamatan di kawasan-kawasan yang berisiko.

“Ujian itu memfokuskan lima prinsip iaitu personaliti, kesihatan mental, integriti, kompetensi dan patriotisme setiap individu.

“Hasil keputusan itu akan menjadi kayu pengukur untuk meletakkan setiap kakitangan di bahagian-bahagian mengikut kebolehan masing masing dan ini penting terutama dalam menentukan tempat di bahagian kritikal,” katanya selepas melancarkan SPIK di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian (Psikologi) Kementerian Dalam Negeri, Ahmad Badruddin Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Seri Mustafa Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Hashimah Nik Jaafar.

Nur Jazlan berkata, ujian psikologi yang dibangunkan oleh kementerian dan Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut menjadi penimbang tara kelayakan seseorang itu untuk dinaikkan pangkat atau tidak.

Beliau berkata, setakat ini, KDN telah melaksanakan ujian tersebut terhadap kakitangan imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) pada Jun lalu.

Tambahnya, ujian tersebut yang masih di peringkat awal turut berfungsi membantu pihak Pengurusan Sumber Manusia KDN menguruskan pengambilan pekerja, penempatan, pengurusan prestasi dan pembangunan kompetensi.

Sejajar dengan itu katanya, KDN telah membangunkan Dasar Pengurusan Psikologi Sumber Manusia (DPSM) yang bertujuan memberi nilai tambah dalam aspek pengurusan sumber manusia.

“Dasar itu memberi fokus kepada kementerian dalam mena­ngani isu-isu seperti nilai, budaya, kepimpinan dan individu melalui pelan operasi yang komprehensif,” katanya.

Utusan Malaysia Online