SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN waktu kerja enam jam sehari ada pro dan kontra. Bagusnya, rakyat ada lebih masa untuk diri sendiri dan keluarga, pada akhirnya mereka gembira dan menjadi pekerja yang lebih produktif. Yang tidak bagusnya, waktu kerja lebih singkat secara tidak langsung mengurangkan produktiviti jabatan kerajaan dan sektor swasta.
Isunya, mampukah pengurangan waktu bertugas kepada enam jam berbanding lapan jam sehari dilaksanakan jika sesetengah masyarakat Malaysia masih berdepan dengan masalah sikap dan etika kerja mereka?
Ketika ini pun pelbagai isu timbul berhubung produktiviti perkhidmatan awam dan sekiranya waktu bekerja menjadi lebih singkat, pasti banyak urusan akan terbantut. Sedangkan waktu perkhidmatan yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pun ada urusan yang tidak sempat dibuat, inikan pula dihadkan urusan sehingga pukul 2 petang!
Dalam tempoh enam jam itu apalah sangat yang boleh dibuat jika banyak masalah berkaitan etika kerja dan sikap pekerja kita masih belum ditangani. Apatah lagi kebimbangan disuarakan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan bahawa ada jabatan atau agensi kerajaan yang ‘tutup’ seawal pukul 4 petang! Itu belum lagi ditolak masa panjang yang diluangkan oleh kakitangan untuk waktu rehat, minum kopi dan sebagainya.
Pada hemat saya, ada perkara yang lebih penting daripada mengkaji cadangan tersebut yang mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan. Tatkala imej agensi dan jabatan kerajaan tercalar akibat sikap sesetengah penjawat awam yang tidak bertanggungjawab, seharusnya penyelesaian kepada permasalahan ‘pokok’ diutamakan.
Apa yang saya nampak keperluan kerajaan untuk memperbaiki dan memperkasakan sistem tadbir urus di semua agensi dan jabatannya, sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai negara maju menjelang Wawasan 2020. Maju yang saya maksudkan termasuklah pekerja yang berminda kelas pertama.
Berkaitan hal itu, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah menswastakan jabatan-jabatan tertentu bagi membolehkan kakitangan memberi perkhidmatan yang lebih optimum. Dengan cara ini, pengisian jawatan dapat disaring iaitu hanya kakitangan bertanggungjawab, amanah dan memberi komitmen tinggi sahaja dikekalkan. Ini kerana sistem tadbir urus sedia ada menunjukkan banyak pembaziran dengan mengambil kakitangan yang pendapat saya tidak ada keperluan pun.
Pernah saya tengok kakitangan kerajaan yang kurang kerjanya, dan hal itu membolehkan mereka berbual dan membuat kerja-kerja peribadi. Ada kalanya mereka bersikap tidak acuh dengan kerja-kerja mereka. Misalnya, urusan yang hanya memerlukan beberapa jam untuk diselesaikan tetapi disimpan berbulan-bulan lamanya sebelum fail atau rekod diedarkan untuk tindakan lanjut.
Hakikatnya banyak lagi kerja yang harus dilakukan bagi memperbaiki imej kakitangan awam khususnya berkaitan integriti. Gejala rasuah umpamanya banyak disinonimkan dengan penguat kuasa sesebuah jabatan. Apatah lagi mutakhir ini banyak laporan media berkaitan rasuah membabitkan pegawai dan top ranking dalam sesebuah organisasi.
Rasuah yang berleluasa adalah cerminan terhadap mutu pentadbiran negara. Banyak bukti menunjukkan negara yang dibebani masalah rasuah mempunyai pasaran saham yang tidak menentu, sekali gus menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah.
Selain itu, gejala rasuah juga menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat kemasukan pelaburan asing ke sesebuah negara. Kesan paling besar akibat gejala rasuah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir dan menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Justeru, usaha-usaha untuk meningkatkan tahap integriti dan memperkukuhkan sistem tadbir urus mesti dipergiatkan. Tidak dinafikan, usaha-usaha sebegini sememangnya memakan masa, namun perlu dimulakan dari sekarang jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 nanti.
Hanis
Putrajaya
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment