Saturday, January 10, 2009

Abdullah cadang tubuh Majlis Hubungan Luar Negara

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Hubungan Luar Negara bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia menubuhkan majlis tersebut bagi meningkatkan pemahaman mengenai dunia melalui perbahasan, perdebatan dan penyelidikan.

''Majlis bebas ini juga dapat merangsang pemikiran inovatif mengenai pendekatan serta isu luar negara dan oleh itu akan dapat menyumbang kepada usaha Malaysia untuk membentuk dunia yang lebih adil, aman dan makmur,'' katanya.

Beliau berucap merasmikan kampus utama Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negara (IDFR) yang turut dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, majlis bebas itu yang mana anggota-anggota boleh dipilih daripada kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang berbeza dapat memberi pemikiran yang mendalam dan pemahaman objektif mengenai hubungan luar.

Katanya, ia juga dapat mewujudkan persetujuan bersama dalam pelbagai polisi luar negara.

''Ahli-ahli akademik, politik, perniagaan, diplomasi, perkhidmatan awam, penyelidik, wartawan dan masyarakat awam perlu dilibatkan dalam majlis bebas ini dalam merangka polisi-polisi luar negara yang lebih baik,'' katanya.

Perdana Menteri memberitahu, banyak negara telah menubuhkan majlis tersebut sama ada negara maju atau membangun dan Malaysia boleh belajar dari negara terbabit.

Menurut Abdullah, beliau melihat banyak faedah dapat diperoleh daripada penubuhan majlis bebas tersebut terutama dalam mempromosikan kepentingan politik, strategik dan ekonomi negara.

''Polisi hubungan luar Malaysia perlu meletakkan asas-asas menjadikan negara ini penting dalam hal ehwal dunia pada masa depan seperti mempunyai visi global pada tahun 2057 apabila negara ini telah wujud dan merdeka selama 100 tahun,'' katanya.

Abdullah memberitahu, negara ini mempunyai potensi untuk menyumbang menjadikan dunia lebih aman dan selamat pada masa depan.

Tegasnya, Malaysia sentiasa menjadi perhatian utama dunia apabila berlaku krisis antarabangsa dan kedudukan ini seharusnya dipertingkatkan bagi memastikan negara mempunyai suara serta didengari oleh masyarakat dunia pada masa depan.

No comments: