Tuesday, January 20, 2009

Cari cara perbaiki perkhidmatan pesakit luar

Rungutan pesakit luar hospital kerajaan yang membuang masa dua hingga tiga jam adalah perkara biasa.

Ini kerana janji Kementerian Kesihatan untuk memendekkan masa menunggu pesakit luar kepada 30 minit nampaknya masih belum dapat dilaksanakan.

Masalah sistem penyampaian yang menjadi agenda utama untuk memulihkan imej perkhidmatan kerajaan masih menjadi igauan pesakit-pesakit luar yang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan atau hospital kerajaan.

Hasil laporan khas wartawan Perkhidmatan Anda Dipantau! di dalam Mingguan Malaysia semalam bahawa tempoh tiga jam terpaksa dilalui oleh pesakit luar menjelaskan hakikat perkhidmatan di kebanyakan hospital kerajaan masih belum berubah.

Mengapa sukar untuk petugas di hospital mempercepatkan tempoh rawatan. Jika dibuat tinjauan, kita tentu sedar di mana selalu berlaku kelambatan.

Dengan bantuan komputer, proses mendapatkan rawatan pesakit luar sepatutnya cepat tetapi perkara ini jarang berlaku.

Proses mendaftar pun mengambil masa lebih setengah jam kerana pesakit terpaksa menunggu nombor giliran dan pencarian fail. Kemudian ada pula sesetengah kes memerlukan pesakit menjalani proses mengambil darah atau air kencing.

Selepas itu, pesakit beramai-ramai duduk termenung di depan bilik-bilik rawatan sebelum dipanggil untuk berjumpa doktor.

Kerajaan tentu sedar kerumitan ini yang menyusahkan rakyat. Masalah mendapatkan rawatan yang begitu lama adalah isu lama.

Tetapi inilah yang dialami oleh masyarakat kita yang berpendapatan rendah setiap kali mengharapkan rawatan di hospital kerajaan.

Bagi memenuhi hasrat untuk memberi khidmat kesihatan dalam tempoh 30 minit, kakitangan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan pembantu hospital perlu mengubah cara bekerja.

Mereka semestinya memahami keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Ketiadaan kumpulan kerja yang baik sesama kakitangan di hospital misalnya boleh diatasi dengan menetapkan prosedur kerja yang teratur dan tidak bertindih antara satu sama lain.

Sepatutnya arahan Kementerian Kesihatan itu juga dijadikan sebahagian daripada piagam pelanggan di hospital-hospital kerajaan ke arah menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu dan membantu.

Status pesakit luar tidak bermakna pihak hospital boleh melengah-lengahkan perkhidmatan yang harus diberi kepada mereka.

Ini kerana kelewatan memberi perkhidmatan kesihatan sama seperti menafikan hak yang telah dijanjikan oleh kerajaan kepada rakyat.

Namun begitu, jumlah pesakit luar termasuk warga asing yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan kian meningkat maka kita tidak boleh beranggapan kerajaan patut terus menanggung kos perubatan rakyat seperti masa ini.

Perancangan harus dibuat mulai sekarang agar rakyat mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kos pembiayaan melalui skim insurans kesihatan.

No comments: