JOHOR BAHRU 18 Jan. - Kerana sudah biasa dengan situasi di Klinik Pesakit Luar, hospital kerajaan, para pesakit menganggap tempoh menunggu antara dua hingga tiga jam sebagai perkara biasa terutama pada waktu puncak.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Sultanah Aminah, di sini baru-baru ini mendapati tempoh berkenaan dianggap biasa bagi pesakit yang ingin mendapat rawatan atau ujian.
Malah, mereka menganggap tempoh itu sangat relevan dalam merancang rutin seharian agar tidak mengganggu waktu seterusnya pada hari berkenaan.
Klinik pesakit luar dibuka setiap hari, kecuali Ahad bermula pukul 7.30 pagi hingga pukul 9.30 malam dan Sabtu bermula 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Seorang pesakit, Noraini Ibrahim, 43, berkata, purata tempoh menunggu antara dua hingga tiga jam ketika mendapat rawatan tidak mengundang sebarang masalah kepadanya.
Dia yang tinggal di Taman Desa Cemerlang memberitahu, dia sampai ke klinik itu pukul 9 pagi dan selesai menerima rawatan pukul 11.15 pagi.
"Memanglah penantian itu sesuatu yang membosankan, tetapi saya hendak buat macam mana dan kena faham dengan jumlah pesakit lain yang ramai.
"Biasanya, saya akan rancang awal-awal tempoh rawatan di sini yang akan mengambil masa hingga tiga jam agar tidak mengganggu aktiviti rutin yang lain," katanya yang datang mendapatkan rawatan kerana demam dan selesema.
Noraini bagaimanapun berkata, dia berpuas hati dengan sistem penyampaian di kilinik hospital kerajaan itu kerana memudahkan pesakit mendapat rawatan dengan teratur.
Katanya, kemudahan yang disediakan juga bertambah baik dan selesa di samping bayaran perkhidmatan yang rendah iaitu hanya RM1 setiap kali datang mendapatkan rawatan.
Namun U. Chandriga, 22, pula berharap kakitangan yang bertugas di Kaunter Pendaftaran Utama lebih komited menjalankan tugas.
"Sepatutnya mereka dapat mempercepatkan lagi proses pendaftaran agar tidak melambatkan waktu menunggu pesakit ketika jumlah pesakit lain tidak ramai," katanya dengan nada kecewa.
Chandriga yang mendapatkan rawatan susulan akibat demam Chikungunya tiba di klinik itu pukul 11 pagi dan selesai menerima rawatan pukul 12.30 tengah hari.
"Negara kita memiliki infrastruktur terbaik, namun pada masa sama mutu perkhidmatan yang diberikan masih di tahap sederhana akibat tempoh menunggu yang terlalu lama," ujarnya.
Bagi Fong Mei Hua, 63, dia perlu datang awal ke klinik kerana menjalani ujian kesihatan bagi merawat penyakit kencing manis yang dihidapinya.
Katanya, ini kerana dia dapat menjangkakan kelewatan tempoh menunggu berikutan terpaksa melalui ujian kesihatan berperingkat-peringkat seperti mengambil contoh darah sebanyak dua kali.
No comments:
Post a Comment