Tuesday, January 20, 2009

Tempoh menunggu sukar dikurang

Oleh WAN SYAMSUL AMLY dan FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pesakit perlu memahami 'kesukaran' yang dihadapi Kementerian Kesihatan dalam usaha meningkatkan prestasi perkhidmatan serta mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan bagi setiap pesakit.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat, tempoh 30 minit bukan penentu rawatan yang diberikan berkualiti.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, jangka masa itu boleh diubah dan mencecah satu jam atau lebih bergantung kepada tahap kritikal pesakit itu sendiri.

''Perlaksanaan tempoh itu perlu mengikut hospital untuk dilaksanakan kerana tidak mungkin hospital yang dikunjungi ratusan pesakit setiap hari mampu mengikutinya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Muhammad Sha'ani berkata, dasar itu sepatutnya dikaji kementerian terbabit dan disusun mengikut pusat perubatan yang berkaitan.

Jelasnya, orang ramai juga perlu faham jumlah pesakit yang ramai menyukarkan hospital mencapai sasaran 30 minit seperti yang dijanjikan.

''Kerajaan mungkin boleh mengambil inisiatif lain bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di hospital kerajaan yang menjadi tumpuan ramai pesakit," katanya.

Tambahnya, proses pelantikan doktor di negara ini juga perlu dipercepatkan kerana kekurangan doktor menyumbang kepada perkhidmatan yang kurang cemerlang.

Pada masa sama, kata Muhammad Sha'ani, pesakit juga perlu memahami kesukaran yang ditanggung kakitangan hospital dan mencari cara lain bagi memastikan mereka tidak perlu tunggu lama.

''Kebanyakan pesakit terus mengunjungi Jabatan Pesakit Luar di hospital kerajaan apabila sakit walaupun sebenarnya mereka boleh mengunjungi klinik kesihatan kerajaan di kawasan mereka.

''Klinik kecil yang disediakan kerajaan itu mampu menangani penyakit biasa dan jika mereka disarankan ke hospital kerajaan, baru pergi kerana sikap ini akan membantu mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan," katanya.

Mengulas isu yang sama, Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPPM), Subramaniam Munusamy berkata, masa yang diambil untuk merawat pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Jabatan Kecemasan semakin berkurangan.

Katanya, kakitangan di dua jabatan itu tidak boleh dipersalahkan jika pesakit terpaksa menunggu lama kerana setiap penyakit memerlukan rawatan berbeza dan ada yang memerlukan masa lama.

Keadaan itu, katanya, mungkin menyebabkan ada yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George, berkata, setiap doktor memerlukan masa untuk memeriksa pesakit bagi memastikan rawatan yang diberikan benar-benar sesuai dan berkesan.

''Bayangkan kalau doktor memeriksa pesakit yang datang kerana sakit tekak secara ala kadar bagi memenuhi tempoh yang disarankan kerajaan, tetapi akhirnya pesakit itu mempunyai ketumbuhan, pasti kesalahan akan diletakkan pada doktor itu sendiri.

''Jangan jadikan isu masa satu perkara besar kerana pesakit perlu sedar cara merawat pesakit dengan sempurna yang dijalankan doktor adalah lebih penting kepada kesihatan mereka," katanya.

Tegasnya, pesakit di negara ini perlu lebih prihatin dan menukar konsep mereka dalam mendapatkan rawatan kesihatan.

''Di negara ini, pesakit terus datang ke Jabatan Kecemasan pada waktu malam walaupun mereka hanya mengalami sakit ringan seperti batuk dan sakit perut.

''Masyarakat di negara lain pergi ke Jabatan Kecemasan jika mengalami penyakit kronik dan kritikal," katanya.

No comments: