PULAU PINANG 18 Jan. - Usaha Kementerian Kesihatan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dengan mengurangkan masa menunggu pesakit di hospital kerajaan daripada 45 kepada 30 minit mula menampakkan kemajuan di hospital di negeri ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati masa menunggu di Unit Rawatan Pesakit Luar dan Unit Kecemasan di Hospital Pulau Pinang (HPP) berjalan lancar dan pelbagai kemudahan turut disediakan antaranya televisyen, kerusi dan meja, sejajar langkah menyediakan perkhidmatan terbaik.
Wartawan dan jurugambar akhbar ini yang mengunjungi HPP beberapa kali juga mendapati jumlah pesakit yang mengunjungi hospital pada hari biasa lebih ramai berbanding hujung minggu dan kesesakan biasanya berlaku pada waktu pagi.
Beberapa pesakit yang ditemui mengakui masa menunggu untuk mendapat rawatan berkurangan antara 30 hingga 40 minit berbanding sehingga sejam atau lebih sebelum ini.
Seorang warga emas, Che Yah Hamid, 75, berkata, dia berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan di HPP dan bersetuju bahawa masa menunggu untuk mendapatkan rawatan di sini juga tidak seperti setahun yang lalu.
Ketika ditemui di Unit Rawatan Pesakit Luar di HPP baru-baru ini, pesakit yang berasal dari Gelugor itu memberitahu, kini dia hanya perlu menunggu 30 minit sahaja untuk mendapatkan rawatan.
''Makcik memang selalu ke hospital dan memang ada sedikit peningkatan jika dibandingkan waktu dahulu. Kalau dulu mak cik perlu tunggu lama dan ada hingga hampir satu jam tapi sekarang lebih baik," katanya yang mempunyai enam orang anak.
Seorang pegawai pemasaran, Ang Kean Siang, 29, berkata, penambahbaikan kualiti perkhidmatan supaya masa menunggu dikurangkan perlu diperhebatkan lagi kerana masih terdapat ruang untuk diperbaiki.
''Memang tidak dinafikan sudah ada sedikit peningkatan tetapi saya percaya ia boleh jadi lebih baik lagi jika usaha tersebut diteruskan.
''Dulu lagi teruk kerana perlu tunggu terlalu lama sehingga kadangkala kita sendiri tidak dapat menahan kesakitan," ujarnya yang menetap di Paya Terubong, Ayer Itam di sini.
Katanya, pada hari ini, beliau hanya perlu menunggu dalam tempoh 26 minit sahaja sebelum nombor gilirannya untuk mendapatkan rawatan dipanggil.
Seorang pesakit, Jalilah Hashim, 44, mahu Kementerian Kesihatan berusaha menambah baik mutu perkhidmatan bagi keselesaan orang awam.
Katanya, langkah kementerian disambut baik tetapi tidak perlu tertumpu kepada satu perkara sahaja sehingga mengabaikan masalah-masalah lain yang juga boleh diperbaiki.
Menurut Jalilah, sebagai pengguna dia gembira atas usaga kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
''Kalau dulu saya terpaksa tunggu hingga berjam-jam lamanya tetapi sekarang tidak lagi kerana masa untuk mendapatkan rawatan dalam lingkungan 30 minit sahaja," jelasnya.
Jamilah berkata, perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah masalah kekurangan tempat letak kereta di hospital kerajaan terutamanya di HPP.
Katanya, masalah itu turut menyebabkan kesesakan sekali gus membuatkan pesakit menghabiskan masa yang terlalu lama kerana tiada tempat letak kereta.
Seorang jurugambar bebas, Christopher Thomas, 32, pula memberitahu, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di HPP juga menjadi penyumbang kepada masa menunggu di hospital.
No comments:
Post a Comment