Friday, January 2, 2009

JPA: Taklimat tukar skim KWSP kepada pencen mulai Selasa

KUALA LUMPUR 1 Jan. — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mulai Selasa ini hingga 13 Januari depan, akan menganjurkan sesi taklimat kepada kakitangan kerajaan mengenai tawaran opsyen kepada mereka yang ingin menukar daripada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada skim pencen.

Taklimat tersebut dibuat berikutan keputusan kerajaan pada November 2008 yang membenarkan kakitangan awam yang memilih skim KWSP untuk menukar semula kepada skim pencen, yang mana akan memberikan banyak faedah kepada para pesara termasuk faedah perubatan dan kesihatan, kata JPA dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut JPA, setakat ini hampir separuh daripada 66,000 pekerja sektor awam yang membuat caruman KWSP dijangka akan menerima tawaran opsyen pencen tersebut.

Katanya, sebanyak 13 lokasi di seluruh negara telah dipilih untuk diadakan taklimat itu dan taklimat pertama akan diadakan Selasa ini untuk bahagian tengah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada pukul 9 pagi, dan di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 3 petang.

Pada Rabu pagi, sesi taklimat akan diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Tengah), di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan Wilayah, Labuan dan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Kuching (Sarawak) mulai 9 pagi.

Sementara untuk negeri Selangor akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pukul 3 petang pada hari yang sama, kata JPA.

Pada Khamis, taklimat akan diadakan untuk kawasan utara, bagi negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang pada pukul 9 pagi, dan di Kedah di Dewan Sri Negeri, Blok D, Wisma Darul Aman, Alor Star pada pukul 3 petang.

Bagi Perak pula pada hari Jumaat di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak, Ipoh dan di Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu, Kedua-dua majlis taklimat itu akan bermula 9 pagi, katanya.

Untuk kawasan selatan, sesi taklimat akan diadakan di Kompleks Islam Johor, Pejabat Agama Negeri, Johor Baharu pada Sabtu mulai 9 pagi, sementara untuk kawasan Pantai Timur akan diadakan pada 12 Jan, di Dewan Utama, Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada pukul 9 pagi.

Taklimat terakhir di Perlis pada 13 Jan di Kompleks Dewan Warisan, Kangar pada pukul 9 pagi, katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesi taklimat itu boleh melayari portal JPA di www.jpa.gov.my atau di portal Bahagian Pasca Perkhidmatan di www.jpapencen.gov.my atau hubungi 03-88854906, katanya. - Bernama

No comments: