Friday, January 16, 2009

Maklumat penjawat awam kontrak kena henti dikumpul

KUALA LUMPUR: Maklumat mengenai kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara yang ditamatkan perkhidmatan mereka sejak awal bulan ini akan dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya sudah menjelajah ke seluruh negara mengumpul maklumat itu berdasarkan laporan dan aduan yang diterima daripada mereka yang sudah ditamatkan perkhidmatannya, awal bulan ini.

Katanya, beliau menerima aduan hampir setiap hari berhubung kontrak perkhidmatan tidak disambung itu yang mana kebanyakannya membabitkan jabatan kerajaan pada peringkat negeri dan agensi kerajaan termasuk badan berkanun.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun pekerja kontrak bukannya ahli kesatuan ini. Kebanyakan pengadu mendakwa mereka kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat lebih lima tahun, malah ada yang sudah bekerja antara 10 dan 15 tahun.

“Apabila kontrak mereka tidak disambung, ia akan menyukarkan kehidupan tambahan pula perbelanjaan semakin bertambah dan anak-anak masih bersekolah. Lagipun, negara dijangka akan menghadapi kelembapan ekonomi,” katanya dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau sebelum ini mendedahkan kemungkinan 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak bakal ditamatkan perkhidmatan bermula awal tahun ini.

Namun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam memberi jaminan tidak akan menamatkan perkhidmatan lebih 20,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Ismail bagaimanapun menegaskan jaminan itu hanya membabitkan kakitangan kontrak yang berkhidmat dengan jabatan serta agensi di bawah kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan kerajaan negeri.

Omar berkata, terbaru beliau menerima aduan kakitangan kontrak di Jabatan Pendidikan akan diberhentikan dan lebih 20 pekerja dengan status yang sama di Kementerian Luar sudah diberhenti, baru-baru ini.

“Alasan yang diberikan Ketua Jabatan untuk tidak melanjutkan kontrak kadang kala sukar diterima, sedangkan kakitangan itu sudah berkhidmat lebih 10 tahun. Jika mereka pekerja kontrak yang berkhidmat satu atau dua tahun atau masih muda, itu tidak menjadi masalah sangat.

“Kita harap kerajaan memberikan pertimbangan supaya mereka yang bertaraf kontrak ini diserapkan ke jawatan tetap terutama yang sudah lama bekerja. Pekerja kontrak ini, tidak mendapat kemudahan seperti kakitangan tetap yang boleh mendapat pinjaman kerajaan serta elaun tertentu. Malah, ada antara kakitangan kontrak ini tidak layak menerima kemudahan kesihatan percuma seperti dinikmati pekerja tetap,” katanya.

Beliau mendakwa turut menerima aduan ada pekerja kurang upaya (OKU) tidak disambung kontrak dengan alasan tidak memberikan perkhidmatan yang baik serta sering meminta cuti sakit.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, tambahan pula dalam suasana ekonomi tidak memberangsangkan kini,” katanya.

Ditanya mengenai perbincangan Cuepacs dengan JPA berhubung isu berkenaan, katanya pihaknya masih belum berbincang dengan JPA kerana masih menunggu tarikh sesuai untuk bertemu.

“Saya jangka kemungkinan mesyuarat akan diadakan awal Februari ini dan kita harap isu berkenaan akan selesai secepat mungkin,” katanya.

No comments: