Wednesday, January 21, 2009

Tempoh akhir opsyen 31 Januari

PUTRAJAYA 20 Jan. – Kakitangan awam yang sebelum ini memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diminta membuat opsyen semula sama ada kekal di bawah skim yang sama atau memilih skim pencen.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, mereka mempunyai tempoh hingga 31 Januari ini untuk berbuat demikian.

‘‘Sekiranya mana-mana penjawat awam tidak membuat opsyen semula sebelum tarikh di atas atau tidak menyerahkan Borang Opsyen Semula sebelum tarikh tersebut atau yang membuat opsyen dengan bantahan atau syarat tambahan, akan disifatkan kekal di bawah Skim KWSP,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Menurutnya, garis panduan mengenai opsyen itu telah disediakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 19 Tahun 2008 (Tawaran Opsyen Semula Kepada Anggota Yang Telah Memilih Skim KWSP) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2009 (Tawaran Opsyen Semula Kepada Pekerja Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan).

Mereka yang mahu penjelasan atau pertanyaan lanjut boleh merujuk kepada hotline Bahagian Pasca Perkhidmatan di talian 03-88854906 atau melayari laman web www.jpapencen.gov.my.

No comments: