KUALA LUMPUR 19 Jan. - Seperti kedai serbaneka 24 jam. Itulah suasana di Jabatan Kecemasan di hospital-hospital kerajaan yang tidak pernah berhenti walaupun seminit.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati walaupun menjelang tengah malam, pesakit yang datang ke jabatan kecemasan masih bertali arus.
Yang datang bukan sahaja mangsa kemalangan atau yang menghidap sakit kronik, tetapi juga ada yang hanya demam atau sakit biasa.
Di sebalik kesibukan itu, masa rawatan menunggu untuk mereka yang sakit kronik atau mangsa kemalangan yang parah tidak sampai seminit.
Ini kerana Jabatan Kecemasan hospital kerajaan dibahagikan kepada tiga zon iaitu hijau, kuning dan merah.
Zon hijau dikhaskan kepada pesakit yang kurang kritikal, kuning kritikal dan merah paling kritikal.
Oleh itu tempoh menunggu antara setiap zon berbeza dengan pesakit yang dikategorikan sebagai zon merah akan diberikan rawatan dalam masa seminit.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, para petugas di Jabatan Kecemasan berkhidmat dengan cemerlang.
Walaupun ada rungutan, ia datang dari pesakit yang dikategorikan dalam zon hijau.
Bagaimanapun seorang doktor yang ditemui menjelaskan, pesakit di zon hijau tidak kritikal dan mereka tidak sepatutnya datang ke Jabatan Kecemasan yang mengutamakan penyakit kronik dan mangsa kemalangan.
Katanya, sepatutnya pesakit terbabit boleh tunggu untuk mendapatkan rawatan di klinik pesakit luar yang dibuka hingga pukul 9 malam setiap hari.
Menurut beliau, tindakan pesakit yang mengalami simptom kurang serius seperti demam dan sakit tekak itu menjadi punca mereka lewat diperiksa kerana Jabatan Kecemasan akan mendahulukan pesakit yang berada dalam keadaan serius.
Beliau turut mendakwa ada pesakit yang berbohong mengatakan terpaksa menunggu selama empat jam kerana setiap doktor memang terikat dengan peraturan perlu merawat semua pesakit yang datang ke jabatan itu dalam tempoh waktu bertugas walaupun penyakit yang dialami sebenarnya kurang serius.
No comments:
Post a Comment