Monday, January 19, 2009

Ada 260,700 tempat di IPT

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Sebanyak 260,700 tempat di 600 pusat pengajian tinggi di seluruh negara disediakan kepada lepasan sekolah yang berminat untuk melanjutkan pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu merangkumi 40,500 tempat bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi serta 43,200 tempat bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.

Beliau berkata, sebanyak 42,000 tempat lagi ditawarkan oleh 21 buah politeknik dan 13,000 peluang kemasukan pula disediakan melalui kolej-kolej komuniti serta 122,000 lagi terdapat di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) lain.

"Negara mempunyai 20 buah universiti awam, 41 buah universiti dan kolej universiti swasta, 21 buah politeknik, 37 buah kolej komuniti dan 485 buah kolej swasta yang menawarkan begitu banyak akses kepada golongan muda negara ini untuk melanjutkan pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2000 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, daripada jumlah tempat yang ditawarkan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menawarkan biasiswa kepada seramai 10,000 pelajar cemerlang termasuk 2,000 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka luar negara dan baki 8,000 bagi meneruskan pengajian dalam negara.

Katanya, kementeriannya masih lagi mengekalkan dasar pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam yang mengguna pakai kaedah 90 peratus kecemerlangan akademik dan 10 peratus kegiatan kokurikulum.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya sedang menggiatkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan mutu sektor pengajian termasuk melalui usaha pengantarabangsaan bagi menjadikan negara sebagai hab kecemerlangan ilmu serantau.

Katanya, hasil lawatan ke Asia Barat dan Afrika baru-baru ini, kementeriannya mendapati lebih 43 juta pelajar dari rantau tersebut berpotensi untuk melanjutkan pengajian di negara ini.

"Selain mampu menyumbang kepada peningkatan pulangan ekonomi negara, usaha ini juga akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi popular perkembangan dan kecemerlangan ilmu serantau.

"Pada masa ini jumlah pelajar antarabangsa yang terdapat di sini telah mencecah 70,000 orang.

"Maklum balas yang diterima agak memberangsangkan kerana untuk mereka menyediakan sendiri prasarana universiti atau kolej memerlukan masa yang lama dan kos tinggi kerana ia bukannya satu proses sekelip mata," katanya.

No comments: