SEREMBAN 6 Jan. - Kerajaan memerlukan anggota perkhidmatan awam yang mempunyai barisan tenaga kerja yang hebat untuk memastikan rakyat terbela ketika berhadapan dengan krisis ekonomi dunia yang mencabar.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan, anggota perkhidmatan awam ini sebagai 'kelasi' kapal yang perlu cekap untuk mengemudi bahtera yang dihuni rakyat supaya tidak tenggelam dalam gelombang besar.
''Anggota perkhidmatan awam perlu menjalankan kerja dengan baik dan kita harus berhadapan apa juga gelombang yang datang dengan perasaan yang kuat serta memastikan kecemerlangan sentiasa mekar," kata beliau di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, jika 'kelasi' tidak bermutu, kurang cekap dan tidak bersungguh-sungguh, akhirnya nanti bahtera akan tenggelam dan rakyat akan musnah dan hancur.
Sebab itulah, kata Mohamad, kerajaan negeri akan memastikan rakyat negeri ini hidup selesa sesuai dengan agenda 2009 yang menekankan kepentingan usaha pembelaan ke atas rakyat melalui Dasar Keselamatan Jaringan Sosial.
''Dasar ini hendaklah diteruskan untuk memastikan rakyat semua peringkat mendapat pembelaan. Jangan ada yang tercicir dalam agenda ini," kata beliau.
Kata Mohamad, dasar ini telah menunjukkan kejayaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2006 dan diterjemahkan dengan amat baik sekali.
Dasar Keselamatan Jaringan Sosial ini diwujudkan untuk 'menjaring' rakyat di luar bandar yang hidup dalam kemiskinan untuk bersama-sama mendapat nikmat pembangunan seperti mana penduduk di kawasan bandar selain diberi perhatian dalam semua aspek kehidupan.
Pada masa sama, beliau mahu melihat penelitian semula dilakukan pada setiap kerja supaya ia boleh dipertingkatkan dan memenuhi kehendak rakyat.
''Penjawat awam telah melaksanakan tugas dengan baik. Namun begitu masih ada ruang untuk diperbaiki supaya ia dapat memuaskan hati rakyat yang menjadi pelanggan kita," tegas Mohamad.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan pentingnya amalan berjimat di semua jabatan kerajaan.
''Penjimatan ini memerlukan kerjasama semua pihak. Jika kita arahkan sekali pun tetapi tidak diikuti, hasrat dan harapan untuk berjimat itu tidak akan tercapai," kata beliau.
No comments:
Post a Comment