Wednesday, November 18, 2009

Pasukan pantau projek

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

BANGI 17 Nov. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menubuhkan pasukan pemantau bagi memberi tumpuan terhadap projek-projek di bawah kementerian itu terutama yang bermasalah.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pasukan terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian itu akan bergerak ke seluruh negara bagi memantau projek-projek yang sedang dilaksanakan.

''Ini adalah satu usaha kementerian untuk menaik taraf sistem penyampaian di dalam perkhidmatan awam yang mengutamakan rakyat dan meningkatkan prestasi terutama bagi pelaksanaan projek berfaedah,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di Institut Kemajuan Desa di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan pemantau itu juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu yang membantutkan pelaksanaan projek dan memerlukan tindakan penyelesaian serta-merta.
Katanya, pasukan itu juga akan merisik, menyiasat dan memantau aduan mengenai projek meliputi semua aspek, sekali gus memberi cadangan sewajarnya kepada pihak pengurusan tertinggi kementerian.

Beliau berkata, pemantauan akan melibatkan beberapa agensi lain di bawah kementerian itu yang akan meninjau projek-projek yang dilaksanakan melibatkan Orang Asli di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu katanya, 90 peratus daripada 26,000 projek di bawah kementerian tersebut kini berjalan lancar atau siap dilaksanakan.

Katanya, perkembangan itu baik untuk kementerian kerana menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) selain memberi faedah besar kepada rakyat.

Utusan Online

No comments: