Wednesday, November 25, 2009

Rakyat cuma mahu tahu hasil, keputusan - KM

KUCHING 24 Nov. - Rakyat tidak mahu mengenal atau mengetahui proses serta latihan dalam pentadbiran kerajaan bagaimanapun mereka mahu melihat keputusan atau hasil yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, oleh itu perlu ada strategi bagi mencapai langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan tempatan untuk menolong rakyat dengan mewujudkan jentera yang mempunyai perjalanan yang harmonis.

Menurutnya, anggota perkhidmatan awam perlu mempunyai kerjasama rapat bersama wakil-wakil rakyat atau ahli politik dengan memberi input mengenai keperluan dan masalah rakyat serta aspirasi mereka terhadap kerajaan.

"Kita dapat mencapai tahap seperti pada hari ini ekoran hasil 20 tahun lalu apabila mereka yang memasuki politik tidak terus terjun ke dalam arena politik tetapi naik mengikut peringkat ke satu peringkat hingga mempunyai ilmu pengetahuan mengenai keperluan rakyat.

"Ahli politik di negeri ini juga mempunyai masa cukup panjang dalam perkhidmatan masing-masing dan mempunyai pengalaman bagaimana membuat kenyataan politik dan mampu menjadi pembela rakyat kerana bekerjasama dengan pentadbiran negeri kita," katanya.

Beliau berucap pada majlis perhimpunan Hari Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2009 bertemakan 'High Team Perfomance and Excellent Service Delivery' di Stadium Perpaduan di Petra Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani; serta Setiausaha Persekutuan Sarawak, Md. Yahya Basimin.

Abdul Taib menambah, beliau berani menyatakan bahawa ramai ahli politik dan penjawat awam di negeri ini adalah berorientasikan pembangunan dan meletakkan soal kemajuan Sarawak lebih tinggi daripada isu politik.
Pada masa sama, katanya, negeri ini mempunyai anggota perkhidmatan awam yang berbilang kaum, cukup bakat, fokus dan mempunyai pengalaman mengenai keadaan di negeri ini sama ada di bandar atau luar bandar.
Sehubungan itu, beliau yakin keazaman penjawat awam serta ahli politik pada masa ini mencukupi bagi membolehkan negeri ini mara mencapai transformasi pembangunan.
"Disebabkan itu, perkhidmatan awam di negeri ini perlu dinamik dalam usaha mentransformasikan Sarawak supaya dapat mempertingkatkan pencapaian di samping menghalusi serta mencergaskan lagi sistem penyampaian kita.
"Kesemua transformasi yang saya sebut itu bakal dicapai jika kita sendiri berusaha ke arah tersebut," ujarnya.

No comments: