Thursday, November 12, 2009

Sistem Ganjaran, Hukuman Setimpal Penting Ke Arah Budaya Kreatif Penjawat Awam

IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Sistem ganjaran dan pelaksanaan hukuman setimpal adalah penting dalam usaha membudayakan kreativiti dan inovasi di kalangan penjawat awam, sekaligus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata sistem ganjaran lebih diperlukan dan ia lebih berkesan buat penjawat awam yang berprestasi cemerlang sebagai satu pengiktirafan kepada perkhidmatan yang diberikan mereka.

"Bagaimanapun, mereka yang melakukan kesalahan juga perlu diberi balasan setimpal bagi memastikan mutu perkhidmatan dan imej agensi di sektor awam tidak terjejas," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Kebangsaan 2009 di sini.

Katanya pengiktirafan yang bermakna hendaklah dalam bentuk ganjaran lumayan dengan mengambil kira sumbangan daripada aspek penjimatan perbelanjaan dan penambahan kepada hasil negara, pembangunan, penyelidikan berimpak tinggi serta budaya berprestasi tinggi.

Beliau berkata perkhidmatan awam menjadi tunjang kepada pembangunan negara selama lebih lima dekad dan bagi menghadapi cabaran persekitaran yang semakin kompleks, penjawat awam perlu menerajui perubahan.

"Sentiasa beri sumbangan yang signifikan dalam merealisasikan agenda negara '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Justeru, kita mesti mendengar aspirasi dan harapan masyarakat, melaksana pembangunan dengan agresif dan sentiasa turun padang," katanya.

Mohd Sidek berkata berfikiran dan bekerja secara kreatif akan memperlihatkan sektor awam benar-benar memberi fokus kepada pencapaian terbaik, dan daya kreativiti itu perlu berasaskan nilai serta etika murni.

Bernama Online

No comments: