Tuesday, November 17, 2009

Tidak hadir bertugas, kesalahan tatatertib tertinggi

KUALA LUMPUR 17 Nov. — Ketidakhadiran bertugas masih merupakan kes kesalahan tatatertib tertinggi di kalangan kakitangan awam, terutama membabitkan kumpulan sokongan untuk tempoh Julai hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, daripada 314 pegawai yang dikenakan tindakan atas kesalahan itu, seramai 294 terdiri daripada kumpulan sokongan berbanding 20 daripada kumpulan pengurusan dan profesional.
Sementara daripada seramai 159 pegawai yang dikenakan pelanggaran tatakelakuan, 143 terdiri daripada kumpulan sokongan dan selebihnya termasuk kumpulan pengurusan tertinggi dan kumpulan pengurusan dan profesional, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 46 anggota kumpulan sokongan didapati terlibat dengan kes mahkamah, 16 terlibat dengan Akta Dadah Berbahaya 1952, empat diambil tindakan kerana keterhutangan kewangan yang serius, dua kerana pekerjaan luar, satu kerana gangguan seksual, dan selebihnya kerana sebab-sebab lain.”

Ismail berkata, walaupun bilangan pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib, menurun sebanyak 21 peratus iaitu kurang sebanyak 119 orang daripada 685 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, jumlah anggota kumpulan sokongan tetap merupakan kumpulan tertinggi iaitu 91.3 peratus daripada 566 anggota perkhidmatan awam yang dikenakan tindakan tatatertib untuk suku ketiga tahun ini.

Bernama Online

No comments: