Thursday, November 19, 2009

'Ponteng' kesalahan tertinggi

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Tidak datang bertugas masih merupakan kesalahan tatatertib tertinggi yang dilakukan oleh kakitangan awam dalam tempoh bulan Julai hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, daripada 314 kakitangan yang terbabit dalam kesalahan tersebut, 294 daripadanya membabitkan kumpulan sokongan sementara 20 yang lain terdiri daripada kumpulan pengurusan dan profesional.

Beliau berkata, kesalahan tersebut mencatatkan sebanyak 54.5 peratus daripada kes kesalahan keseluruhan. Ia diikuti kesalahan pelanggaran tatakelakuan iaitu 27.1 peratus.
"Bagi kesalahan lain, seramai 46 pegawai awam terlibat dengan kes mahkamah manakala mereka yang terlibat dengan Akta Dadah Berbahaya 1952 ialah seramai 16 orang,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.

Bagaimanapun Ismail berkata, bilangan pegawai awam yang dikenakan tindakan tatatertib bagi suku ketiga tahun ini berkurangan kepada 566 orang berbanding 685 orang dalam suku yang sama tahun lepas.

"Penurunan sebanyak 21 peratus itu berikutan peranan proaktif yang dimainkan oleh Ketua Jabatan dan Pihak Berkuasa Tatatertib.

"Ketua-ketua jabatan didapati memainkan peranannya dalam menjalankan tugas kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai yang terlibat,'' katanya.

Utusan Online

No comments: