Wednesday, November 25, 2009

Siap sedia hadapi RMK-10 dalam tempoh setahun

KUCHING 24 Nov. - Anggota perkhidmatan awam di negeri ini perlu bersiap sedia dan bekerjasama dalam satu pasukan bagi menghadapi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dalam tempoh setahun lagi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, Sarawak juga hanya mempunyai masa setahun lagi untuk melaksanakan semua projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Justeru menurutnya, Sarawak perlu menyiapkan projek di bawah peruntukan awal Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) serta peruntukan khas RM1 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi I dan II sebelum akhir 2010.

''Memandangkan peruntukan yang besar telah diluluskan dalam RMK-9 dan juga peruntukan bagi projek Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) di bawah RMK-10, maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai anggota perkhidmatan awam untuk bekerja kuat dan bekerjasama sebagai satu pasukan bagi melaksanakan semua projek terbabit.

''Di samping itu, kita perlu lebih strategik, inovatif dan kreatif dalam merangka projek dan program RMK-10 kerana tempoh lima tahun akan datang adalah mencabar dan tidak menentu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Hari Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2009 bertemakan 'High Team Performance and Excellent Service Delivery' di Stadium Perpaduan di Petra Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar serta Setiausaha Persekutuan Sarawak, Md. Yahya Basimin.

Mohamad Morshidi berkata, perancangan awal RMK-10 sedang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Perancang Sarawak (SPU) dan ia memerlukan input daripada semua agensi, jabatan dan kementerian.
Katanya, dalam RMK-10 juga, kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk melaksanakan projek berlandaskan sasaran jangka pendek dari 2010 hingga 2012 dalam NKRA.

Tambahnya, daripada enam NKRA yang telah dikenal pasti, Sarawak dan Sabah telah diberi keutamaan untuk menambah baik infrastruktur luar bandar iaitu jalan, bekalan elektrik dan air.

''Dengan siapnya pelaksanaan NKRA infrastruktur luar bandar, Sarawak dijangka akan mendapat 900 kilometer tambahan jalan luar bandar serta peningkatan peratus isi rumah yang akan dibekalkan dengan elektrik dan air.

''Bilangan isi rumah yang akan dibekalkan elektrik akan meningkat daripada 64 peratus sekarang kepada 95 peratus manakala bekalan air pula dijangka meningkat daripada 57 peratus kepada 90 peratus," ujarnya.

Utusan Online

No comments: