Wednesday, November 25, 2009

Penjawat awam jangan lengahkan proses kerja

KUCHING 24 Nov. - Penjawat awam perlu melaksanakan setiap keputusan dan dasar kerajaan dengan gigih serta tidak dilengah-lengahkan supaya proses kerja akan menjadi mudah dan efisien seperti diharapkan pelanggan.

Setiausaha Persekutuan Sarawak, Md. Yahya Basimin berkata, sehubungan itu penjawat awam khususnya ketua jabatan perlu memastikan proses kerja yang diguna pakai sentiasa relevan mengikut perkembangan semasa.

Katanya, dengan cara ini dapat meyakinkan dan memenuhi tuntutan rakyat yang dahagakan penyampaian perkhidmatan cekap serta berkesan.

"Penjawat awam perlu lebih komited dalam melaksanakan tugas masing-masing dan sentiasa membuat penambahbaikan terhadap kualiti perkhidmatan yang disampaikan.

"Penjawat awam juga perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan dan pengetahuan bagi mengurangkan pembaziran serta ketirisan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan memberi impak positif kepada rakyat dan lebih banyak projek dilaksanakan," katanya.

Beliau berucap pada perhimpunan Hari Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2009 yang bertemakan High Team Perfomance and Excellent Service Delivery' di Stadium Perpaduan di Petra Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Md. Yahya memberitahu, kerajaan memandang berat soal integriti dan telah mewujudkan mekanisme serta struktur mantap bagi menentukan perkhidmatan awam pada tahap yang tertinggi apabila dinilai dari segi integriti dan amalan murni.

Katanya, nilai negatif seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak hadir bertugas, lalai menjalankan tugas merupakan gejala yang boleh melemahkan dan memberi imej buruk kepada perkhidmatan awam.

Tambahnya, sekiranya gejala-gejala itu tidak dibendung dan dikawal, segala usaha ke arah perkhidmatan yang cemerlang akan sia-sia.

"Oleh itu, tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat dengan gejala tersebut.

"Saya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa serta melakukan rasuah dalam melaksanakan projek-projek pembangunan yang diamanahkan," ujarnya.

Utusan Online

No comments: