KAKITANGAN awam sekali lagi disajikan dengan berita gembira. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan sistem ganjaran baru bagi memperkasakan budaya prestasi cemerlang di kalangan penjawat awam.
Pengumuman itu muncul selang seminggu selepas pelbagai insentif diperkenalkan untuk rakyat melalui Bajet 2010 termasuklah pemberian imbuhan khas sebanyak RM500 yang dipanjangkan kepada penjawat awam kumpulan pengurusan dan profesional.
Ia membuktikan kerajaan secara berterusan prihatin dan mengambil berat nasib penjawat awam. Pelbagai insentif sebelum ini seperti pemberian elaun COLA, bonus serta semakan gaji adalah bukti yang cukup jelas dan nyata.
Kita percaya sistem ganjaran ini pastinya akan membuka satu lagi lembaran baharu kepada penjawat awam yang akan menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang lebih berkualiti dan berprestasi tinggi.
Cuma apa yang menjadi persoalan utama adalah bentuk ganjaran tersebut sama ada kepada seluruh jabatan yang terlibat ataupun kepada individu dalam bentuk wang ringgit atau peluang kenaikan pangkat.
Pada masa yang sama kaedah penilaian juga menjadi satu lagi perdebatan hangat. Ini kerana kita khuatir unsur-unsur seperti penilaian yang tidak adil dan pilih kasih akan terus bermaharajalela. Ia sudah pasti akan mencacatkan niat murni kerajaan ketika memperkenalkan sistem ganjaran ini.
Semoga pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat mengambil kira segala aspek tersebut sebelum memperinci dan mengumumkan bentuk ganjaran serta kaedah penilaiannya.
Kita wajar elak “pisang berbuah dua kali” di mana kita tidak mahu ada lagi penjawat awam yang mempersoal atau pun tidak berpuas hati kepada sistem baru itu nanti. Sama seperti yang berlaku kepada sistem penilaian prestasi tahunan kakitangan awam serta penilaian yang dibuat dalam Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan juga pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Diharapkan ganjaran ini akan menyuntik semangat baru serta memberi motivasi kepada seluruh penjawat awam agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan berkesan kepada rakyat selaras dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Walau apa pun bentuk ganjarannya, perkara utama adalah semua penjawat awam wajar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan.
Di kala kadar pengangguran semakin merisaukan dan ramai pekerja swasta diberhentikan, kakitangan awam terus terjamin masa depan sehingga ke umur persaraan. Malah kerajaan terus memberi bermacam-macam insentif dan ganjaran tambahan hampir setiap tahun. Apa lagi yang kita pertikaikan?
Sepatutnya isu-isu seperti layanan kaunter yang tidak memuaskan, sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lemah dan soal disiplin kakitangan awam tidak wajar berlaku lagi. Setiap penjawat awam perlu ada budaya bekerja dengan ikhlas dan mencari rezeki yang halal. Jika kita dapat sematkan budaya sebegini maka soal ketirisan dalam perkhidmatan awam tidak akan ditimbulkan lagi malah kita percaya laporan Ketua Audit Negara yang akan datang juga pastinya lebih meyakinkan rakyat.
Percayalah akhirnya ganjaran itu pasti akan datang mencari kita dalam apa jua bentuk jika kita bekerja dengan ikhlas.
Janganlah asyik memikirkan soal ganjaran atau balasan untuk sesuatu kerja yang dilaksanakan tetapi kerja tidak seberapa.
Justeru bersempena dengan pengumuman sistem ganjaran ini, diharap semua penjawat awam dapat bermuhasabah diri, merenung kembali dan seterusnya mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan selama ini dan hindarilah budaya asyik meminta atau mengharapkan balasan supaya semua pihak dapat menikmati rezeki di bumi bertuah ini secara adil, saksama dan seimbang.
Budayakanlah pengorbanan sebagai nilai hidup kita agar kita terus maju.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment