Sunday, January 9, 2011

CUEPACS bantu pekerja kontrak

Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 8 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membantu kira-kira 10,000 bekas pekerja kontrak yang tidak dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka dalam sektor awam sejak hujung tahun lalu.

Presiden CUEPACS, Omar Osman (gambar) berkata, pihaknya akan cuba berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran secepat mungkin bagi membantu kira-kira 2,000 bekas pekerja rendah awam (PRA) yang tidak disambung perkhidmatan mereka.

“Kita akan mulakan dengan Kementerian Pelajaran kerana ia melibatkan sejumlah besar kakitangan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“CUEPACS juga akan berjumpa dengan beberapa agensi kerajaan dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang terlibat dengan penamatan kontrak pekerja dianggarkan berjumlah lebih 10,000 orang di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat membincangkan isu semasa kakitangan awam di sini, hari ini.

Antara yang ditamatkan kontrak termasuk 77 bekas PRA di Kangar, Perlis yang menceritakan nasib mereka selepas ditamatkan kontrak kepada Utusan Malaysia pada hari tahun baru lalu.

Dianggarkan kira-kira 2,000 PRA di bawah Kementerian Pelajaran ditamatkan kontrak bermula 31 Disember lalu sementara ramai lagi menerima nasib sama di peringkat agensi atau pejabat negeri-negeri seluruh Malaysia.

Omar bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak dapat memastikan jumlah sebenar pekerja yang tidak dilanjutkan tempoh kontrak mereka daripada keseluruhan 50,000 kakitangan kontrak perkhidmatan awam di seluruh negara.

“Kita masih menyiasat jumlah sebenar yang terlibat dan masih mendapat maklum balas dari negeri-negeri. CUEPACS akan cuba membantu bermula dengan agensi yang paling banyak menamatkan kontrak pekerja.

“Ada kakitangan kontrak yang diambil sebagai pekerja sambilan yang bekerja mengikut hari tertentu tetapi kita akan cuba membantu terutamanya mereka yang sudah berusia dan sukar mendapat pekerjaan lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan pertama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Rabu ini mengenai sistem baru yang akan menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) mulai Julai 2011.

“Kita tidak mahu sistem PTK diserap ke dalam sistem baru ini kerana mahu prestasi kerja, senioriti dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) menjadi penentu kenaikan pangkat dan gaji kakitangan awam.

“Perbincangan dengan JPA ini diharap dapat memfokuskan sistem baru kepada tugas kakitangan berkenaan. Kita akan melihat sistem baru ini secara menyeluruh bersama JPA sebelum sistem PTK dimansuhkan sepenuhnya Jun ini,” katanya.

Selain itu, Omar menyatakan CUEPACS juga akan membincangkan usaha menaik taraf gred skim perkhidmatan dengan JPA bagi menyelaraskan semua gred sedia ada mengikut kelayakan, kemampuan dan tugas hakiki setiap kakitangan awam.

Utusan Malaysia Online

No comments: