Saturday, January 29, 2011

Sektor awam diminta beri peluang kepada OKU

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta agar golongan kurang upaya diberi peluang yang lebih luas untuk memegang jawatan dalam sektor berkenaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, setakat ini sasaran satu peratus orang kurang upaya (OKU) berkhidmat dalam sektor berkenaan masih belum dicapai.

Menurutnya, golongan tersebut sepatutnya diberi peluang untuk bekerja di dalam sektor awam kerana ada antara mereka merupakan golongan bijak pandai dan lulusan universiti.

"Kami mendapat banyak aduan daripada golongan OKU bahawa mereka banyak kali gagal pada sesi temuduga pekerjaan dalam sektor awam walaupun memenuhi kriteria yang diperlukan.

"Kami yakin mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik sekiranya ditawarkan jawatan dan pekerjaan di dalam sektor awam seperti kerani, pengurus fail dan sebagainya yang tidak membabitkan tugasan fizikal kerana ada antaranya berkelulusan tinggi seperti ijazah dari universiti tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan cek saguhati perpindahan kepada penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood; Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengurus Besar Pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Roslan Abu Talib.

Menurut Omar, setakat ini golongan OKU yang bekerja dalam sektor awam berpuas hati dengan kemudahan disediakan.

Katanya, rata-rata golongan tersebut memuji usaha kerajaan menyediakan tempat bekerja yang selesa untuk mereka.

"Tiada masalah dari segi kemudahan OKU di tempat kerja dalam sektor awam, cuma masalahnya kekurangan pekerja daripada golongan itu. Saya berharap perkara ini dapat diberikan perhatian," jelasnya.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS dan beberapa kesatuan sekerja lain seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia pada 8, 11 dan 12 Februari ini mengenai isu pelaksanaan gaji minimum.

"Sebagaimana yang umum ketahui, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk pengenalan gaji minimum, tetapi kami masih tidak mendapat bayangan bahawa ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

"Jadi, satu perbincangan akan diadakan pada tarikh tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengetahui status terkini pelaksanaan gaji minimum di negara ini," katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: