Wednesday, January 19, 2011

Laksanakan projek tahun ini mengikut jadual

KOTA KINABALU 18 Jan. - Anggota perkhidmatan awam Sabah digesa melaksanakan segala projek yang dirancangkan pada tahun ini mengikut jadual, selain meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Muhammad Hatta Ab. Aziz berkata, segala Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan projek-projek yang diputuskan untuk dilaksanakan harus mematuhi jadual dan selaras dengan prosedur serta peruntukan ditetapkan.

Beliau menegaskan, persoalan seperti 'kenapa apa yang sepatutnya berlaku tidak berlaku' perlu dicari punca dan dirungkai segera, supaya pelaksanaan sesuatu projek atau program dijayakan dengan mudah.

Menurutnya, proses yang bermula dengan idea bernas mesti disusuli perancangan cemerlang dan pelaksanaan tanpa cacat cela, sekali gus mampu memastikan mutu perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Selain itu, amalan berbelanja secara berhemah hendaklah diteruskan oleh anggota perkhidmatan awam sebagai sumbangan untuk membantu kerajaan mengurangkan defisit negara," katanya ketika berucap pada perhimpunan awam persekutuan, bilangan pertama 2011 di sini hari ini.

Menurutnya, perbelanjaan yang diurus secara baik dan mendapat pulangan maksimum itu sebaiknya disusuli dengan perkara paling penting iaitu integriti.

Jelas beliau, perkhidmatan yang diberikan seharusnya berintegriti dan telus, meskipun perlu melakukan perubahan-perubahan drastik, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu penjawat awam harus berani melakukan perubahan.

Mengenai peruntukan yang disediakan, Muhammad berkata, jabatan-jabatan yang diberi peruntukan untuk perancangan pusingan dua tahun pertama di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), ia harus dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Selain itu katanya, pemantauan sebaik mungkin terhadap proses pelaksanaannya supaya ia tidak tersasar daripada maklumat atau objektif asal.

"Perlu diingat bahawa kita kini berada dalam era pecut untuk memastikan matlamat Visi 2020 iaitu Malaysia sebagai negara maju tercapai.

"Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (NEM) adalah agenda nasional yang memerlukan komitmen daripada seluruh penjawat awam, tanpa mengira jawatan yang disandang," katanya.

Sementara itu, ujar beliau, pemikiran dan cara bekerja anggota perkhidmatan awam juga perlu berubah supaya segala perancangan dan objektif jabatan dapat direalisasikan.

Jelasnya, segala perubahan dan penambah baik yang telah dilakukan seharusnya dihebahkan kepada masyarakat, supaya perkhidmatan yang terdapat di jabatan kerajaan boleh dimanfaatkan.

"Tidak dinafikan, banyak penambah baik dilakukan oleh perkhidmatan awam, tetapi ia kurang diketahui oleh masyarakat.

''Oleh itu, ketua jabatan dan pegawai perhubungan awam perlu lebih aktif menyebarkan maklumat kepada orang ramai," katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: