Monday, January 10, 2011

2,000 ditamatkan bukan PRA

Oleh HAMDAN TAWADI
pengarang@utusan.com.my


BATU PAHAT 9 Jan. - Dakwaan bahawa Kementerian Pelajaran yang menamatkan kontrak kira-kira 2,000 pekerja rendah awam (PRA) di bawahnya adalah sesuatu yang kurang tepat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menjelaskan para pekerja tersebut sebenarnya bertugas di dalam perkhidmatan yang telah diswastakan oleh kementeriannya seperti pengawal keselamatan, penyediaan makanan dan pembersihan.

"Apa yang berlaku adalah syarikat yang mendapat kontrak penswastaan itu tidak dilanjutkan tempoh kontrak atas sebab-sebab tertentu termasuk gagal menepati kualiti dan piawaian ditetapkan.

"Apabila kontrak syarikat ini tamat dan tidak dilanjutkan, secara tidak langsung, pekerja-pekerja juga kehilangan kerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Pada program itu, Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat dan Ketua UMNO Bahagian menyampaikan sumbangan makanan kepada 125 penduduk kurang berkemampuan di kawasannya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 34 murid sekolah rendah dan sembilan pelajar sekolah menengah.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Ayub Jamil bersama Naib Ketua UMNO Bahagian, Ja'affar Hashim dan Pegawai Daerah, Norizan Kulob.

Mohd. Puad bagaimanapun berkata, bagi menangani masalah pekerja-pekerja itu, pihaknya meminta mereka memohon kekosongan jawatan dalam kementeriannya berdasarkan kelayakan.

"Kita akan beri keutamaan kepada pekerja-pekerja ini dengan syarat memenuhi kelayakan ditetapkan. Permohonan juga boleh dibuat menerusi online," katanya.

Beliau turut menyarankan agar pekerja-pekerja tersebut memohon pekerjaan dengan syarikat baru yang menggantikan syarikat lama ekoran tidak dilanjutkan tempoh kontrak.

"Saya juga menyarankan agar syarikat yang mendapat kontrak ini memberi keutamaan kepada pekerja-pekerja ini kerana mereka mempunyai pengalaman," katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membantu kira-kira 10,000 bekas pekerja kontrak yang tidak dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka dalam sektor awam sejak hujung tahun lalu.

Dianggarkan kira-kira 2,000 PRA di bawah Kementerian Pelajaran ditamatkan kontrak bermula 31 Disember lalu sementara ramai lagi menerima nasib sama di peringkat agensi atau pejabat negeri-negeri.

Utusan Malaysia Online

No comments: