Thursday, January 6, 2011

Penjelasan sultan dipertikai

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 5 Jan. – Kemelut pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) terus merumitkan apabila Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mempertikaikan penjelasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani semalam.

Abdul Khalid menganggap, kenyataan akhbar tersebut adalah penafsiran peribadi Mohamad Munir dan ia tidak mewakili baginda termasuk penjelasan kenyataan Menteri Besar itu bahawa Sultan Selangor tidak mempunyai kuasa menerima dan menolak calon Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Beliau berkata, Sultan Selangor memahami cadangan kerajaan negeri mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Perlembagaan Negeri untuk memperjelaskan lagi kuasa sultan dan Menteri Besar berhubung pelantikan SUK, Pengawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.

‘‘Dalam pertemuan dengan Sultan Selangor, ada dibincangkan mengenai situasi sebelum pindaan Perlembagaan Negeri pada 1993 berkaitan dengan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar membabitkan pemilihan tiga jawatan tersebut.

‘‘Tidak ada pertikaian, kita (beliau dan Sultan Selangor) bincang mengenai sebelum 1993, sebelum pindaan melibatkan kuasa pelantikan SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar.

‘‘Mengikut logik, sebelum pindaan Perlembagaan Negeri tahun 1993, sultan dan Menteri Besar ada hak dalam pemilihan tiga pegawai kanan kerajaan negeri berkenaan. Saya harap Datuk Munir jangan tidak setuju dengan saya, kalau dia tak setuju banyak orang kena balik (belajar) di sekolah undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Semalam, dalam kenyataan akhbarnya, Mohamad Munir berkata, kenyataan Abdul Khalid pada 3 Januari lalu menyatakan Sultan Selangor berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat.

Menurut Mohamad Munir, apa yang berlaku sebenarnya, nama-nama calon untuk jawatan SUK telah disembahkan kepada baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjalankan kuasa SPA Persekutuan selaras dengan kedudukan baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri.

Beliau menyatakan, baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan dan selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh SPA Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh JPA dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Jelasnya, perkara tersebut juga telah menjadi amalan di Selangor.

Abdul Khalid bagaimanapun mengulangi pendiriannya bahawa pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK dibuat tanpa pengetahuannya selaku Menteri Besar.

Katanya, pelantikan itu tidak dilakukan berdasarkan manual pemilihan SUK, Pengawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri yang mana calon untuk jawatan itu harus dibuat oleh jawatankuasa pemilihan peringkat negeri.

Katanya, bagi calon SUK, mereka seharusnya terdiri daripada pegawai kerajaan yang berkelayakan sama ada di peringkat JUSA A, B dan C serta Gred 54.

‘‘Kita ada calon-calon yang ada kelayakan itu untuk mengisi jawatan sebagai SUK, itu senarai prosesnya.

‘‘Menteri Besar pilih tiga daripadanya dan serahkan kepada Sultan Selangor untuk pertimbangan, lepas itu kita serah kepada JPA dan kemudiannya calon yang dipilih diserahkan kembali kepada negeri sebelum diperkenankan oleh Sultan Selangor. Inilah yang ada dalam manual pemilihan SUK negeri,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online

No comments: