Wednesday, January 12, 2011

Kematangan KDN tempohi cabaran

Tahun 2010 merupakan tahun yang begitu sukar dan amat mencabar bagi kita semua. Ia juga satu tahun yang tidak pernah sunyi dengan perkara baru dan isu besar yang perlu ditangani.

Namun dengan kerjasama yang erat, seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuktikan bahawa kita mampu memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas dengan baik. Misalnya, aspek Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian ini, prestasi yang ditunjukkan cukup memberangsangkan.

Semua pelan transformasi tidak mungkin tercapai jika kita tidak dapat mewujudkan persekitaran politik yang stabil dan keamanan di dalam negara. Tidak mungkin rakyat dapat tidur lena dan tenang bekerja jika keselamatan diri, keluarga dan harta benda mereka diancam. Tidak mungkin pelabur dan masyarakat antarabangsa akan yakin dengan potensi ekonomi negara sekiranya negara sentiasa kacau-bilau akibat kegagalan kita menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di dalam negara, apatah lagi jika negara menjadi sarang membiaknya kegiatan keganasan atau lebih buruk lagi dijadikan sasaran serangan kumpulan pengganas.

Tugas kita semakin berat kerana hari ini isu keselamatan sudah menjadi semakin kompleks. Jika dulu ancaman terhadap negara dapat dilihat melalui serangan tentera musuh yang ramai lengkap dengan peralatan perang, tetapi hari ini sejumlah individu yang mempunyai rangkaian dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara, mempunyai kepakaran menggunakan teknologi dan berkeupayaan mempengaruhi persepsi awam melalui penipuan, fitnah, hasutan dan manipulasi, mampu menyebabkan kerosakan, kekacauan dan kerugian besar di dalam negara.

Kita perlu segera melaksanakan transformasi dan perlu berubah. Tidak seperti bidang lain, Keselamatan Nasional adalah bersifat 'zero sum'. Tidak ada senario menang-menang. Jika kita kalah, manusia yang tidak bersalah akan mati atau ditimpa kecelakaan. Justeru, kita tidak boleh kalah. Kita tidak boleh sekali- kali membenarkan kejahatan mengatasi kebaikan, anarki mengatasi keamanan, kemusnahan menggantikan kemakmuran.

Atas keinsafan ini, sepanjang tahun 2011, saya ingin menggariskan tujuh komitmen utama KDN yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan dalam semangat 1KDN. Komitmen-komitmen ini adalah seperti berikut:

MEMANTAPKAN PELAKSANAAN NKRA MENGURANGKAN JENAYAH

KDN akan memantapkan lagi komitmen untuk mengurangkan kadar jenayah seperti yang disasarkan di dalam NKRA menerusi 55 inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Jenayah. Pendekatan bersepadu dari segi fungsi setiap jabatan dan agensi dalam KDN akan diteruskan dan dipertingkatkan.

Bagi merealisasikan matlamat ini, pada tahun 2011, PDRM telah merangka strategi membanteras jenayah secara menyeluruh melalui program Pengukuhan Modal Insan, meningkatkan kemahiran setiap warga PDRM dan meningkatkan omnipresence PDRM.

Bermula dengan gelombang pertama, gelombang demi gelombang penempatan anggota polis di jalanan akan diumumkan sepanjang tahun ini bagi memastikan kehadiran seramai mungkin anggota keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, Rela dan JPAM di kawasan hot spots yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.

Kerjasama strategik dengan pihak Kementerian Pertahanan juga telah dirangka bagi membolehkan lebih ramai anggota keselamatan berada di kawasan hot spots dan untuk melatih lebih ramai anggota polis.

Sebagai contoh dan sesuatu yang belum pernah diumumkan sebelum ini, kita telah mula menempatkan semula seramai 8,140 anggota PGA di sempadan Semenanjung Malaysia ke empat negeri hot spots mengikut giliran. Bagi memantapkan lagi inisiatif ini, dua kem tentera akan digunakan bagi melatih rekrut polis melalui kerjasama strategik ini kita akan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat. Ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah kerana tidak pernah sebelum ini kita melihat PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama begitu rapat dan erat sekali.

Kita menyedari bahawa kebanyakan mangsa jenayah adalah wanita. Atas kesedaran ini, salah satu inisiatif yang akan saya bentangkan pada tahun ini adalah usaha untuk melindungi golongan wanita dari terus menjadi mangsa penjenayah.

KDN akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan NGO-NGO yang berkaitan untuk mencari jalan bagaimana golongan wanita yang menjadi mangsa boleh digalakkan untuk membuat laporan tentang perbuatan jenayah ke atas diri mereka dan mencari langkah pencegahan jenayah yang boleh mengelakkan wanita terus-menerus dijadikan mangsa.

BERI NILAI TAMBAH KPI KEMENTERIAN

Langkah meneruskan dan menambah nilai KPI 2009 ini adalah bagi memastikan rakyat berbilang kaum di Malaysia mendapat akses yang terbaik melalui perkhidmatan yang disediakan oleh KDN. Usaha ini sejajar dengan hasrat yang digariskan dalam agenda kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Model Ekonomi Baru (MEB).

Pada 2011, kita akan menggerakkan usaha untuk menambah nilai KPI 2009 dengan perancangan untuk menggerakkan agenda-agenda berikut:

i. Menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubung permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran,

ii. Meningkatkan fungsi dan ciri-ciri keselamatan dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri dan imigresen, dan

iii. Membantu mempermudahkan kemasukan ke dalam negara golongan berpendapatan tinggi (high net worth) dan pekerja berpengetahuan tinggi (knowledge workers).

Mengambil kira KPI yang telah digariskan telahpun berjaya dicapai sepenuhnya, maka sudah tiba masanya untuk kita memberikan fokus kepada perkara-perkara yang digariskan dalam Tambah Nilai KPI. Sehubungan itu, bagi tahun ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa usaha dan gerak kerja kita akan ditumpukan untuk melaksanakan tiga agenda Tambah Nilai yang telah dirancang pada tahun 2010. Tahun 2011 adalah masa untuk kita melihat pelaksanaan setiap satu agenda tersebut sekali gus memastikan inisiatif-inisiatif yang digerakkan dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan golongan sasar.

MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGURUSAN ISU WARGA ASING

Suatu ketika dahulu, isu warga asing yang kompleks ini dilihat amat sukar untuk ditangani. Bukan sahaja kita berhadapan dengan beberapa masalah seperti isu pemantauan dan penguatkuasaan, penglibatan pelbagai kementerian dan agensi yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai kategori warga asing menyukarkan tindakan yang komprehensif digerakkan secara berkesan. Bagaimanapun kita telah merintis usaha yang signifikan dalam menangani isu pengurusan warga asing di negara ini.

Susulan daripada cadangan KDN, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan Makmal Pengurusan Warga Asing untuk mengenal pasti strategi dan pendekatan terbaik dalam memantapkan pengurusan dan pemantauan warga asing di negara ini. Makmal ini disertai oleh wakil daripada 14 kementerian dan 11 jabatan serta agensi. Selain para pegawai yang akan menjadi ahli tetap, makmal ini akan turut disertai wakil daripada lebih 30 organisasi dan pertubuhan yang berkepentingan dalam isu warga asing.

MENANGANI ANCAMAN JENAYAH MERENTASI SEMPADAN

Globalisasi bukan sahaja mempermudahkan aliran maklumat dan modal merentasi sempadan negara, tetapi apa saja dan di mana saja termasuk buruh, barangan, perkhidmatan, ideologi, seni budaya dan kepakaran. Walaupun mempunyai kebaikan, globalisasi telah membuka ruang dan peluang yang luas untuk kegiatan jenayah sedia ada beroperasi selain menjadi pemangkin kepada kewujudan jenayah baru, termasuk keganasan.

Pada tahun 2010 sahaja, kita telah menahan sejumlah 22 orang yang dikategorikan sebagai pengganas. 13 daripada mereka adalah dari kumpulan Al-Qaeda, lima dari Jemaah Asharut Tauhid dan empat dari Jemaah Islamiah.

Kemajuan dalam teknologi siber juga menjadi ancaman yang nyata kepada keselamatan negara. Penjenayah siber menggodam sistem kerajaan dan bank, mencuri maklumat penting, termasuk identiti individu, maklumat kad kredit dan juga wang dalam akaun. Dalam tahun 2010 sahaja, pihak polis menyiasat sebanyak 3,279 kes jenayah melibatkan kerugian sebanyak RM26.7 juta dan membawa kepada tangkapan seramai 4,276 orang penjenayah siber.

Serangan terhadap kerajaan melalui berita palsu, hasutan, fitnah, dakyah dan manipulasi melalui ruang siber juga mampu menyebabkan kacau-bilau dan gugatan keselamatan di dalam negara. Penggodam juga boleh menguasai sumber-sumber yang boleh mengancam keselamatan negara, selain memperolokkan sistem kita dengan potensi kemusnahan yang tidak terbayangkan.

Semua ini menunjukkan jenayah rentas sempadan adalah ancaman utama global pada masa kini. Lebih buruk lagi, sindiket jenayah yang beroperasi melangkaui sempadan negara sering mempunyai perkaitan dengan aktiviti- aktiviti seperti keganasan, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta jenayah siber. Ancaman-ancaman jenayah melangkaui sempadan ini boleh berlaku dalam pelbagai kaedah, bentuk dan samaran, menyebabkan kerajaan sukar mencegah dan membanteras jenayah-jenayah tersebut.

Perkaitan rapat di antara jenayah-jenayah ini menuntut kerajaan menanganinya secara holistik, sistematik dan terancang. Saya berpandangan masanya sudah tiba untuk menubuhkan sebuah institusi di Langkawi bagi menangani jenayah melangkaui sempadan ini. Institusi yang dicadangkan ini akan menggunakan tapak sedia ada di Langkawi International Shooting Range (LISRAM) dan merupakan platform terbaik bagi menggabungkan kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat bagi merangka dan merencana dasar, operasi, risikan dan kajian serta meruntuhkan sindrom working in isolation di kalangan agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

Enam bidang yang akan menjadi fokus institusi ini adalah Keganasan, Pemerdagangan Manusia, Penyeludupan Dadah, Jenayah Siber, Penggubahan Wang Haram dan Pengurusan Krisis dan Risiko. Melalui pengetahuan dan set kemahiran baru dalam bidang-bidang ini, negara dapat dipersiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan jenayah rentas sempadan sesuai dengan misi yang dicadangkan bagi institusi tersebut iaitu Prepare, Prevent and Response (Bersedia, Cegah dan Bertindak balas).

Institut yang akan ditubuhkan ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan kita memerangi jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan, malah bakal membuka ruang dan peluang yang luas untuk menjalin hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa. Kesudian kerajaan United Kingdom untuk menandatangani MoU dengan Malaysia pada bulan ini, Arab Saudi dan Vitenam pada Mac, Belanda pada Mei 2010, dan Australia yang sentiasa bertemu kita dari semasa ke semasa membuktikan keyakinan mereka terhadap kita.

MEMERANGI PENGEDARAN DAN PENYALAHGUNAAN DADAH

Dadah merupakan musuh nombor satu negara. Kerajaan sedar usaha membanteras jenayah tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa usaha memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Malaysia adalah sebuah negara yang tidak bertoleransi dengan dadah dan mempunyai peruntukan undang-undang yang ketat untuk memerangi dadah.

Ketegasan Malaysia dibuktikan melalui lima akta yang digubal bagi tujuan mencegah pengedaran dan penagihan dadah, iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.

Walaupun begitu terbukti bahawa mempunyai undang-undang yang ketat semata-mata masih tidak cukup untuk menakutkan pengedar dadah dan belum dapat menginsafkan masyarakat tentang bahaya dadah. Sama seperti keganasan dan jenayah, dadah juga tidak mengira warna kulit, agama, darjat, kedudukan dan sebagainya.

Justeru wawasan, hala tuju, strategi, pendekatan dan iltizam baru dalam memerangi ancaman dadah. Pendekatan yang lebih segar diperlukan dalam empat aspek utama usaha memerangi dadah, iaitu dari aspek berikut:

i. Pencegahan

ii. Pemulihan

iii. Penguatkuasaan undang-undang, dan

iv. Kerjasama di peringkat antarabangsa.

Pada 2011, KDN akan meneliti semula pernyataan dasar anti dadah negara yang sedia ada. Pernyataan dasar ini telah dirangka pada 1996 dan kali terakhir ia disemak semula adalah pada 2004. Sudah tiba masanya dasar anti dadah negara dan segala langkah memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah dikaji semula.

Selain mencari jalan untuk meningkatkan keberkesanan program pencegahan dan pemulihan, KDN akan menggiatkan lagi penguatkuasaan terhadap pengedar dadah dan operator makmal dadah. Pada tahun 2010, jumlah tangkapan berkaitan kesalahan dadah adalah seramai 146,942; 137,241 melibatkan penagih dan 9,701 melibatkan pengedar.

Sejumlah 31 buah makmal telah ditumpaskan sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 melibatkan rampasan dadah bernilai RM226.75 juta. Nilai keseluruhan rampasan dadah yang direkodkan sepanjang 2009 dan 2010 adalah sebanyak RM658 juta.

Pada 2011, KDN akan meningkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan dan tidak akan bertolak ansur sama sekali dalam perang terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah ini.

MENINGKATKAN KEBERKESANAN PROGRAM PEMULIHAN

Sekiranya sistem hukuman, penahanan dan pemulihan berkesan, maka peluang bagi seseorang melakukan jenayah berulang berkurangan, seterusnya ini akan mengurangkan kadar jenayah di dalam negara. Visi Jabatan Penjara adalah untuk menjadi sebuah institusi koreksional bertaraf dunia menjelang 2020.

Sasaran Jabatan Penjara adalah untuk memastikan jumlah residivis, atau banduan yang berulang kali masuk ke penjara, tidak melebihi 17 peratus dari jumlah kemasukan setahun. Alhamdulillah, setakat ini Jabatan Penjara yang masih dapat mengekalkan kadar residivis di bawah paras 17 peratus (16.8 peratus).

Sebagai langkah kepada penyelesaian koreksional yang lebih holistik, beberapa pendekatan baru dan penambahbaikan telah diperkenalkan oleh Jabatan Penjara secara proaktif. Pertama, dengan menambah baik program pengasingan banduan dan mengasingkan mereka mengikut umur, tahap dan jenis kesalahan. Kedua, melalui pengkategorian semula penjara. Pada tahun 2010, sebanyak 11 buah penjara terlibat dalam usaha ini dan pada tahun 2011, ia akan diperluaskan ke 17 penjara yang lain.

Seperti Jabatan Penjara, transformasi program rawatan dan pemulihan juga merupakan agenda utama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Kita sedar, selepas 27 tahun trend, metodologi dan teknologi terapi rawatan dan pemulihan penagihan dadah sudah banyak berubah. Melalui AADK, beberapa pendekatan baru yang diperkenalkan pada 2010 dan akan diperkemaskan lagi pada tahun ini.

Pendekatan baru AADK ini adalah dengan menjadikan program rawatan dan pemulihan lebih terbuka. Melalui Klinik Rawat dan Prihatin (Cure & Care) 1Malaysia, AADK telah membuka ruang kepada masyarakat untuk memilih perkhidmatan program rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa perlu melalui proses tangkapan dan perintah mahkamah.

MENGGERAKKAN GELOMBANG KESUKARELAAN

Ketika ini, KDN termasuk semua jabatannya mempunyai sekitar 160,000 orang warga kerja. Dari jumlah itu, PDRM sahaja mempunyai kekuatan sekitar 120,000 orang. Kekuatan anggota Imigresen pula adalah sekitar 11,000 orang. Untuk memastikan semua komitmen tahun baru 2011 terlaksana, kita memerlukan sebanyak mungkin bantuan di dalam dan di luar kementerian.

Jumlah anggota Rela sehingga 31 Oktober 2010 adalah seramai 2.04 juta orang. Jumlah ini adalah peningkatan lebih daripada 350 peratus berbanding 556,000 anggota pada waktu saya mula-mula menjejakkan kaki ke kementerian ini.

Jumlah anggota terlatih JPAM pula adalah sekitar 178,000 orang berbanding 63,670 orang semasa April 2009. Jumlah ini tidak termasuk sejumlah 73,400 orang kadet pertahanan awam dan 217,400 orang awam yang dilatih dengan ilmu pertahanan awam. Jumlah sukarelawan AADK pula adalah seramai 101,000 orang berbanding hanya 11,768 orang pada April 2009.

Jika dihitung, jumlah keseluruhan sukarelawan yang boleh digerakkan oleh KDN adalah berjumlah 2.6 juta orang. Jumlah ini adalah satu jumlah yang besar dan boleh menyokong dan membantu tugas 160,000 warga kerja KDN. Menyedari akan kelebihan ini, pada tahun 2011, kita akan berusaha untuk menggerakkan gelombang kesukarelaan yang lebih besar lagi di seluruh negara.

Jumlah yang besar ini sudah pasti boleh digerakkan bukan sahaja untuk memantapkan pelaksanaan NKRA, tetapi juga untuk membantu KDN melaksanakan enam lagi komitmen tahun 2011.

PELAKSANAAN AMAT PENTING

Belajar dari pengalaman Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pelaksanaan dan penyampaian adalah amat penting. Tidak ada toleransi terhadap mereka yang tidak efektif dan efisien, tiada integriti, menyalah guna kuasa dan rasuah dalam melaksanakan RMK-10. Saya akan meminta penjawat jawatan dan bahagian yang berisiko dipantau, bukan sahaja melalui KPI yang ditetapkan, tetapi juga melalui bantuan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tahun 2010 sedikit tercalar dengan beberapa insiden berkaitan integriti. Walaupun pepatah menyatakan bahawa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk, tetapi nila yang setitik boleh mencemarkan susu sebelanga.

Jangan kerana perbuatan segelintir habis semua terpalit lumpurnya. Menyedari hakikat ini, usaha meningkatkan integriti warga KDN dan kesemua jabatan merupakan salah satu agenda penting dalam tahun 2011. Bagi memulakan tahun baru 2011 ini, KDN akan melancarkan slogan anti rasuah iaitu "Khidmat Tanpa Rasuah". Sama-samalah kita berusaha meningkatkan integriti dan menggandakan produktiviti; mencari keberkatan, memberi khidmat tanpa rasuah.

KDN merupakan benteng terakhir untuk memastikan survival kita. Kuasa yang ada mungkin menyebabkan ada kalanya kita rasa kesunyian dan bersendirian untuk membuat keputusan yang sukar, namun mahu tidak mahu seseorang mesti melakukannya. Buatlah keputusan itu dengan berani, hati yang bersih, jujur, ikhlas dan sebagai satu pasukan; sebagai satu keluarga.

Ingatlah! rakyat perlu merasa setiap perubahan yang kita bawa. Rakyat perlu nampak kesungguhan kita di dalam melaksanakan apa yang mereka perlukan tepat mengikut masa, tidak menyalah guna kuasa, tidak rasuah dan mengelakkan pembaziran. Lakukannya bukan untuk saya, tetapi untuk rakyat, untuk anak- anak kita dan untuk negara kita. Lakukannya demi menjaga maruah agama dan kepercayaan kita. Lakukannya demi maruah anak-anak, ibu bapa dan keluarga kita.

Rencana ini adalah sedutan ucapan Perutusan Tahun Baru 2011, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Putrajaya pada 7 Januari 2011.

Utusan Malaysia Online




No comments: