Wednesday, January 19, 2011

Kementerian Kerja Raya perkenal NeTI proses bida tender

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Selepas kejayaan program bekerja dari rumah untuk kakitangannya, Kementerian Kerja Raya terus mengorak langkah dalam penggunaan teknologi maklumat apabila memperkenalkan National e-Tendering Initiatives (NeTI) atau e-Tender untuk proses pembidaan tender.

Menerusi pelaksanaan NeTI, proses penilaian tender dibuat secara dalam talian dan kontraktor tidak perlu lagi datang untuk membeli borang di pejabat kementerian di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, apa yang perlu dilakukan kontraktor ialah mengisi maklumat syarikat menerusi laman sesawang www.tender.gov.my.

Katanya, sebagai permulaan, projek perintis itu hanya membabitkan kontraktor kelas A yang memohon untuk mendapatkan projek membina bangunan yang bernilai RM10 juta ke atas.

Menurutnya lagi, program NeTI yang pertama kali diperkenalkan itu akan memastikan ketelusan dalam proses pemberian tender kerajaan kepada kontraktor kerana ia dibuat tanpa membabitkan pertemuan mana-mana pihak.

''Kita akan laksanakan program perintis ini selama enam bulan sehingga Jun ini sebelum ia dinilai semula kementerian secara terperinci.

''Ia akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan sekiranya tidak ada masalah, kita akan teruskan program ini terhadap projek-projek infrastruktur dan kontraktor kelas lain," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Puan Sri Zaiton Mhad Ali dan Datuk Nasir Mat Dam serta Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

Dalam pada itu Shaziman memberitahu, program NeTI akan mendatangkan kebaikan kepada kontraktor di mana mereka boleh membuat penilaian terhadap kemampuan syarikat masing-masing dari segi sumber kewangan dan tenaga kerja sebelum membuat sesuatu proses bidaan tender.

Manakala bagi kerajaan pula jelasnya, ia merupakan sistem yang telus di samping menjimatkan dari segi proses penyimpanan maklumat.

''Namun, saya ingin memberi amaran kepada syarikat kontraktor jika didapati memalsukan maklumat mengenai syarikat, mereka boleh disingkirkan daripada proses bidaan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Shaziman mahu JKR mengkaji semula Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) sesuatu projek daripada 24 bulan kepada lima atau 10 tahun.

Menurutnya, ini kerana beliau mendapati kebanyakan projek kementerian seperti jalan raya akan mengalami kerosakan selepas tamat tempoh DLP iaitu dua tahun.

''Keadaan ini mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dan sekiranya dikaji ia akan membuatkan kontraktor lebih berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu projek sekali gus dapat meningkatkan kualitinya," katanya.

Beliau juga meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menyegerakan proses penilaian berhubung program bekerja dari rumah yang dilaksanakan kementerian ke atas beberapa kakitangan sokongannya.

Tambah beliau, program itu terbukti telah berjaya meningkatkan produktiviti kakitangan berkenaan sehingga 80 peratus daripada sebelum ini.

Utusan Malaysia Online

No comments: