Enam program berkenaan adalah Program Penajaan Nasional, Program Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman, Program Ijazah Dalam Negara, Program Dermasiswa B40, Program Lepasan Bursary dan Program Bursary.
JPA dalam kenyataannya berkata, Program Bursary merupakan bantuan kewangan pengajian secara automatik merangkumi pembiayaan yuran pengajian, elaun sara hidup serta elaun penginapan sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di dalam atau luar negara.

“Pelaksanaan kaedah Cambridge Personality Test itu bagi memastikan pemilihan pelajar tajaan dilakukan secara adil, telus dan tidak hanya bergantung kepada penilaian penemuduga.

“Selepas sahaja dipilih, pelajar yang terlibat perlu menjawab beberapa soalan melalui dalam talian sebelum temuduga sebagai pro­ses akhir pengesahan tajaan yang akan dikendalikan oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP),” kata kenyataan yang diedarkan selepas sesi taklimat JPA kepada media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, bermula tahun ini juga, JPA akan melaksanakan model baharu penajaan dalam bentuk pinjaman boleh ubah berteraskan prinsip pulangan pelaburan kepada negara (ROI) dalam memastikan kerajaan memperoleh bakat yang terbaik untuk perkhidmatan awam.

“Model baharu itu dirangka bagi mencapai objektif pembangunan modal insan negara untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan selain memfokuskan kepada yang berpendapatan rendah.

“Model itu juga berdasarkan empat teras utama iaitu merit dan inklusif, fokus kepada golo­ngan B40, M40, Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); pembangunan Malaysia sebagai hub pendidikan dan pulangan pelaburan,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, pinjaman boleh ubah itu dikecualikan bagi Program Dermasiswa B40 yang berpendapatan isi rumah RM3,690 ke bawah.

Tambah kenyataan tersebut, pengenalan model baharu penajaan itu juga dibuat sebagai langkah pengubahsuaian yang lebih strategik bagi mengoptimumkan peruntukan sedia ada selepas Bajet 2016 diubah suai ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Menurut kenyataan itu, tum­puan akan diberikan kepada penajaan pelajar ke IPT tempatan bagi menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau selain ingin memastikan kemampanan fiskal jangka panjang negara.

“Sebanyak RM1.65 bilion diper­untukkan bagi menampung seba­nyak 49,060 pelajar sedia ada pada tahun ini, daripada jumlah itu sebanyak 41,324 pelajar melanjutkan pelajaran dalam negara manakala bakinya di luar negara.
“Tambahan sebanyak RM160 juta lagi telah diluluskan di bawah pengubahsuaian Bajet 2016 untuk membiayai penajaan pelajar baharu,” kata kenyataan itu.

Perjanjian pinjaman dikuatkuasakan mengikut empat keadaan selepas pengajian iaitu:

1. Ditukarkan kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

2. Bayaran sebanyak 25 peratus daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat milik kerajaan (GLC).

3. Bayaran balik sebanyak 50 peratus daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara.

4. Bayaran penuh sekiranya bekerja di luar negara.

Utusan Malaysia Online