Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah tersebut penting memandangkan kerja-kerja penguatkuasaan yang dijalankan JPJ ketika ini dilihat kurang mendatangkan kesan dalam menurunkan kadar kemalangan di negara ini.

Beliau berkata, langkah tersebut juga dapat memastikan pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang akan diperkenalkan kelak dapat dijalankan dengan berkesan.

“Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila kita melaksanakan penguatkuasaan, tidak nampak keberkesanannya jadi, kita perlu mengkaji semula segenap sudut penguatkuasaan yang dilakukan selama ini.

“Sebagai contoh, apabila dahulu kita laksanakan sistem penguatkuasaan automatik (AES), berlaku permasalahan apabila terdapat banyak daripada mereka yang tidak membayar saman tersebut.

“Selain itu, Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara) dahulunya tidak berkesan kerana kita membolehkan sesiapa yang membayar kompaun tidak perlu dipotong markah mereka. Ini menyebabkan wujud kelonggaran dan permasalahan dari segi pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-70 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, ketika berucap, Tiong Lai berkata, dalam usia 70 tahun, kerajaan sedar bahawa peranan JPJ amat besar dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta berintegriti.

Sehubungan itu, kata beliau, pelbagai transformasi telah dan akan dilaksanakan terhadap jabatan tersebut bagi memastikan perkhidmatan kerajaan yang cepat serta telus.

Beliau memberitahu, JPJ telah melaksanakan beberapa transformasi perkhidmatan selaras dengan kehendak Program Transformasi Ekonomi yang menyasarkan semua agensi kerajaan mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus transaksi dalam talian menjelang 2020.

“Perkhidmatan dalam talian JPJ merupakan salah satu perkhidmatan yang digemari rakyat. Kita telah pun melaksanakan penambahan mesin-mesin tersebut di kios-kios JPJ.

“Kita seterusnya merancang untuk meletakkan mesin-mesin tersebut di pasar raya supaya mereka yang keluar membeli-belah boleh dalam masa sama menggunakan perkhidmatan disediakan JPJ,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam masa tiga bulan lagi bagi menaik taraf dan menambah baik struktur pentadbiran dan pengurusan JPJ.

“Penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk memastikan JPJ terus diperkasakan dan diperkukuhkan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Utusan Malaysia Online