Kejadian ini mengingatkan kita akan pentingnya nilai integriti terus disemai dan dipupuk dalam diri setiap penjawat awam agar mereka sentiasa peka tentang pentingnya menjaga amanah yang disandarkan di bahu mereka iaitu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam hubungan ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menganjurkan persidangan meja bulat atas tajuk “Isu-Isu Integriti Utama Dalam Dapatan Laporan Ketua Audit Negara” pada 29 Mac lalu yang menampilkan para panel iaitu Timbalan Pengarah, Bahagian Audit Kerajaan Persekutuan, Jabatan Audit Negara, Zaki Ismail, Timbalan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Sazali Salbi dan Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Yusli Mohamed Yusoff.

Persidangan meja bulat ini dihadiri oleh seramai 20 orang wakil dari pelbagai kementerian, badan berkanun, syarikat milik kerajaan (GLC) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Secara keseluruhan, dapatan Ke­tua Audit Negara yang dibentangkan menunjukkan bahawa berlaku kesalahan-kesalahan secara ber­ulang-ulang oleh pegawai-pegawai ke­rajaan pada setiap tahun dan ia dapat dikelompokkan kepada enam jenis kesalahan seperti berikut :-

i) Kerja/bekalan tidak mengikut spesifikasi, tidak berkualiti atau tidak sesuai;

ii) Kelewatan menyiapkan projek yang tidak munasabah oleh pembekal/kontraktor;

iii)Pembaziran dana kerajaan;

iv) Kelemahan pengurusan pemungutan hasil kerajaan;

v) Kelemahan pengurusan aset kerajaan; dan

vi) Ketidakpatuhan terhadap undang-undang alam sekitar.

Kesalahan secara berulang ini tidak akan berlaku jika semua pegawai kerajaan menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh berintegriti. Ini kerana dari segi sistem dan prosedur perolehan, sistem yang diguna pakai di negara kita adalah amat sistematik. Begitu juga dari segi penguatkuasaan ­undang-undang. Undang-undang sedia ada juga mencukupi untuk mengekang sebarang bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Dari segi inisiatif, pengukuhan moral dan nilai penjawat awam, kita ada Indeks Persepsi Integriti Nasional dan Indeks Sistem Pengurusan Audit Nilai (SPAN) yang mana skor indeks komposit nilai penjawat awam bagi tahun terkini adalah 72.3%.

Sementara itu, dari segi mengukur tahap kecintaan rakyat kepada negara kita ada Indeks Patriotisme Negara yang dikeluarkan oleh Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri iaitu pada paras 3.8/5 (2014) dan dari segi pematuhan kepada syariah kita ada Indeks Maqasid Syariah yang baru diumumkan oleh kerajaan yang berada pada paras 75.42%.
Namun, memang benarlah ungkapan ahli falsafah terkenal Britain, Betrand Russell, bekas pemenang Hadiah Keamanan Nobel yang mengatakan bahawa “No amount of rules could ensure morality”. Sistem dan prosedur yang canggih sekalipun tidak dapat mengekang peng­khianatan kepada amanah selagi penjawat awam tidak menjadikan agama sebagai cara hidup mereka.

Dari segi Islam, jenayah mencuri atau menggelapkan wang ke­rajaan ini tergolong dalam kelompok jenayah yang disebut sebagai Al-Sariqah. Dalam hal ini Allah berfirman: “Dan lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang telah mereka usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana.“ ( Surah Al-Maidah 5:38).
Mengikut perundangan Islam, bagi pesalah yang mencuri maka hendaklah dipotong tangannya pada kali pertama dan bagi kesalahan mencuri kali kedua, maka hendaklah dipotong kaki kirinya.

Walau bagaimanapun, jika dia mencuri lagi kali ketiga dan di­sabitkan kesalahan, maka dia akan dikenakan hukuman takzir dan dipenjarakan. Semasa pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib, seorang lelaki telah disabitkan untuk kesalahan mencuri maka ­baginda telah memotong tangan kanan lelaki berkenaan.

Kemudiannya lelaki berkenaan dibawa kepadanya untuk kesalahan mencuri kali kedua dan baginda te­lah memotong kaki kirinya pula. Namun apabila lelaki berkenaan dibawa untuk kesalahan mencuri kali ketiga, Saidina Ali r.a. berkata bahawa: “Aku tidak akan memotong tangan kiri dan kaki kanannya, jika aku memotong tangannya lagi dengan apakah dia akan berjalan? Sesungguhnya aku sangat malu terhadap Allah di atas tindakan aku itu. Lalu Saidina Ali memukul lelaki tersebut dengan kayu dan memenjarakannya”. (Riwayat Al-Baihaqi).

Begitulah indahnya Islam meletakkan hukuman terhadap jenayah Sariqah ini di mana sekiranya seseorang itu mencuri kerana terlalu lapar dan dahaga yang boleh membawa maut maka ia dianggap sebagai al-darurah dan tidak akan dikenakan hukuman seperti di atas.

Apa yang paling utama, bagi mengekang jenayah rasuah, ahli-ahli politik tidak wajar sama sekali menggunakan pengaruh politik untuk melindungi pesalah rasuah yang mempunyai pertalian dengan mereka seperti yang berlaku pada 1993 kepada Michael Mates iaitu seorang anggota Kabinet pen­ting dalam Kabinet bekas Perdana Menteri Britain yang terkenal iaitu John Major. Beliau menerima tajaan politik dari peniaga berbangsa Turki, Asil Nadir iaitu Ketua Eksekutif Polly Peck Ptd. Limited yang satu masa unggul se­bagai syarikat pengedar buah­-buahan yang terbesar di dunia.

Namun pada 1990, syarikat ini bankrap dengan hutang terkumpul sebanyak 1.3 bilion Pound dan Nadir dikenakan 13 pertuduhan meng­gelapkan duit syarikat berkenaan. Setelah dihadapkan ke mahkamah dan diikat jamin, Nadir telah melarikan diri ke Cyprus dan pihak berkuasa Britain gagal mendapatkan perintah ekstradiksi terhadap beliau.

Siasatan polis Britain akhirnya mendapati bahawa Mates ialah dalang di sebalik skandal rasuah berkenaan apabila didapati beliau menulis surat kepada Peguam Negara Britain untuk mempengaruhi agar meng­gugurkan pertuduhan terhadap Nadir. Apabila skandal ini diketahui umum maka Mates tiada pilihan me­lainkan meletakkan jawatan.

Mudah-mudahan dengan ada­nya usaha-usaha penyemaian nilai murni yang berterusan seperti yang tersemat dalam Bab 9 Rancangan Malaysia Ke-11 atas tajuk Nilai dan Akauntabiliti maka skandal penyelewengan yang besar melibatkan penjawat awam seperti yang berlaku baru-baru ini tidak akan berulang kembali.

Penulis ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia.

Utusan Malaysia Online