KHAZALI AHMAD (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred W17 Siri 1/2016 di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Melaka, semalam.
MELAKA 1 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan mengisi kira-kira 400 kekosongan jawatan secara berperingkat di seluruh negara menerusi tiga sesi pengambilan tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pengambilan itu bagi memenuhi kekosongan yang disebabkan pengunjuran jawatan, selain persaraan anggota dan pegawai yang mencapai umur 60 tahun pada tahun ini.
Menurutnya, kekosongan jawatan itu termasuk melibatkan jawatan Pembantu Penguasa Kastam Gred W17, Pegawai Kanan Gred W41 serta kumpulan sokongan di bawah jabatan berkenaan.
“Dijangka pada tahun ini dan tahun mendatang lebih banyak berlaku kekosongan jawatan disebabkan pengunjuran jawatan termasuk mereka yang akan bersara, selain mengisi kekosongan jawatan pegawai dan anggota penguatkuasa di bahagian cukai barang dan perkhidmatan (GST) di seluruh negara.
“Sebagai jabatan yang berperanan memungut hasil cukai, setiap kekosongan jawatan perlu diisi segera dan pihak kita akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mengadakan sesi temuduga bagi mengisi baki kekosongan jawatan.
“Kita mesti sentiasa melakukan pengambilan dan proses pengisian jawatan itu juga mengambil masa agak panjang termasuk mereka yang terpilih perlu menyertai kursus asas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan penutupan rasmi Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred W17 Siri 1 2016 di Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Bukit Baru, di sini semalam.
Pada majlis itu, sebanyak 255 pembantu penguasa Kastam menerima sijil tamat latihan Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W17 yang membabitkan 159 lelaki dan 96 wanita.
Khazali berkata, tempoh latihan itu dijalankan selama lapan minggu dengan para peserta mengharungi jadual lebih padat berbanding sebelum ini kursus berkenaan dijalankan selama tiga bulan.
“Mereka ini juga dilatih dalam ilmu-ilmu perkastaman terkini kerana bidang tugas di jabatan ini bersifat dinamik dan memerlukan setiap pegawai sentiasa mengemaskini pengetahuan serta kemahiran semasa bertugas bagi memberi perkhidmatan cemerlang kepada orang awam.
“Melalui kursus asas itu, ia dapat meningkatkan keupayaan dan keyakinan diri dari segi mental, fizikal dan spiritual pegawai,” katanya.
Sementara itu, peserta terbaik keseluruhan kursus, Amiruddin Ahmad, 24, berkata, dia bersyukur kerana impiannya untuk menyertai kerjaya beruniform itu tercapai selepas beberapa tahun menghantar permohonan dalam pelbagai jawatan badan beruniform.
Beliau yang juga pelajar lepasan Politeknik Kuantan, Pahang berazam untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang kerana sebelum ini telah beberapa kali gagal mendapat tawaran kerjaya berkenaan.
“Sebelum ini saya bekerja dalam industri pembalakan dan alhamdulillah cita-cita saya ini tercapai.
“Apa yang penting ikhlas dalam bekerja dan mengikut arahan yang diberikan, selain rasa teruja untuk berkhidmat dalam jabatan ini di Johor bermula Isnin ini,” katanya yang berasal dari Felda Jengka, Pahang.
Selain itu, Amiruddin turut dianugerahkan sebagai peserta terbaik akademik termasuk tugasan, pengucapan awam dan peperiksaan.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment